16 rumah Taman Zoo View
dikosong
Berita Harian 12/6/2006
KUALA LUMPUR: Kesemua 16 pemilik dan penyewa rumah di Lorong Timur off Jalan
Lee Woon, Taman Zoo View, Hulu Klang kini sudah mengosongkan premis
masing-masing selepas kejadian tanah runtuh semakin buruk sejak 3 Jun lalu.
Ia berikutan arahan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang meminta semua
penghuni terbabit berpindah ke tempat lebih selamat bagi mengelakkan
kejadian yang tidak diingini berlaku.
Tinjauan Berita Harian di tempat kejadian semalam, mendapati MPAJ turut
menempatkan anggota penguat kuasanya di laluan berkenaan bagi mengawal
keluar masuk penghuni taman dan memantau sekiranya masih berlaku kejadian
tanah runtuh.
Malah, wartawan dan jurugambar yang ingin memasuki taman berkenaan untuk
membuat liputan atau berjumpa dengan penghuni taman juga dihalang anggota
MPAJ terbabit. Begitu juga pita berwarna merah putih turut dipasang bagi
menghalang orang tidak berkenaan memasuki Lorong Timur.
Menurut anggota penguat kuasa MPAJ yang enggan namanya disiarkan, sehingga
kini kesemua 16 penghuni sebelah kanan Lorong Timur sudah meninggalkan
kediaman masing-masing, termasuk membawa keluar barang berharga serta
perabot.
“Difahamkan kerja pemindahan dilakukan sejak seminggu lalu dan hari ini (semalam)
dan kebanyakan kediaman sudah dikosongkan penghuninya. Sejak 1 Jun, apabila
tragedi Kampung Pasir semuanya dinasihatkan meninggalkan rumah ,” katanya di
tempat kejadian.
Sementara itu, tinjauan di belakang premis mendapati tebing tanah lapan
daripada 16 unit rumah berkenaan rosak teruk akibat dihakis, malah ada
antaranya sudah sampai ke dinding. |