16 rumah tunggu rebah
Harian Metro 12/6/2006
HULU KLANG: Keadaan ‘rumah tergantung’ di Lorong Timur off Jalan Lee Woon,
Taman Zoo View, di sini, kian kritikal berikutan hujan lebat hampir setiap
hari yang semakin menghakis tanah di bahagian bawah deretan kediaman
terbabit.
Walaupun dipasang plastik bagi mengelak hakisan di tebing belakang rumah
berkenaan, ia masih gagal menghalang tanah bukit itu dari runtuh sedikit
demi sedikit.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati, tebing di belakang lapan daripada
16 unit rumah di situ rosak teruk akibat dihakis, malah ada antaranya sudah
menghampiri dinding rumah.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim, 42, berkata dia
yakin rumah berkenaan akan jatuh ke kaki bukit sekiranya tiada sebarang
usaha drastik dilakukan.
Menurutnya, rumah terbabit hanya menanti masa untuk rebah dan usaha
menyelamatkannya tampak sukar dilakukan.
“Cerun bukit yang terhakis begitu curam dan tinggi. Oleh itu usaha menambak
tanah yang runtuh di bahagian belakang deretan rumah terbabit bakal
menghadapi masalah besar.
“Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bukan saja perlu memikirkan
soal kos baik pulih malah perlu bertindak pantas sekiranya tidak mahu
melihat semua rumah terbabit menyembah bumi,” katanya.
Menurutnya, penduduk kini turut terkeliru pihak mana yang harus
dipertanggungjawabkan untuk membayar ganti rugi sekiranya rumah berkenaan
runtuh.
Katanya, semua penghuni sudah mengosongkan rumah masing-masing selepas
kejadian tanah runtuh 31 Mei lalu yang meragut nyawa empat penghuni Kampung
Pasir di kaki bukit terbabit.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati semua 16 pemilik dan penyewa
rumah di Lorong Timur sudah mengosongkan premis masing-masing kerana bimbang
keselamatan diri.
Tinjauan turut mendapati pihak MPAJ terus menempatkan anggota penguat kuasa
di laluan menghala kawasan terbabit bagi mengawal keluar masuk penghuni
taman dan memantau sekiranya masih berlaku kejadian tanah runtuh.
Malah, wartawan dan jurugambar yang ingin memasuki taman berkenaan untuk
membuat liputan atau berjumpa penghuni taman juga dihalang anggota MPAJ
bertugas.
Pita berwarna merah putih turut dipasang bagi menghalang orang tidak
berkenaan memasuki Lorong Timur.
Anggota penguat kuasa MPAJ yang enggan namanya disiarkan berkata, sehingga
kini semua 16 penghuni sebelah kanan Lorong Timur sudah meninggalkan
kediaman masing-masing, dengan membawa bersama barang berharga serta perabot.
Difahamkan kerja pemindahan dilakukan sejak seminggu lalu serta semalam dan
kebanyakan kediaman sudah dikosongkan penghuninya. |