SHAH ALAM - Pemaju perumahan mungkin menawarkan kepada pembeli tempoh
waranti lebih panjang daripada 18 bulan sekarang, malah sehingga 36 bulan
bagi meyakinkan mereka tentang kualiti rumah yang dibina.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata,
langkah itu wajar kerana beliau percaya kecacatan rumah yang baru siap
dibina selalunya mengambil masa sehingga 36 bulan untuk menjadi ketara.
"Jika pemaju membina rumah dengan menggunakan bahan yang berkualiti, saya
yakin rumah boleh tahan lebih lama," katanya kepada pemberita selepas
pelancaran inisiatif Waranti Rumah 18+18 SP Setia Bhd di sini semalam.
Menurutnya, langkah SP Setia menawarkan Waranti Rumah 18+18 bagi hartanah
mereka dan dipercayai yang pertama di negara ini, wajar diberi
perhatian.-Bernama