Taman Bukit Segar tergugat
25/05/2006 BERITA HARIAN
Tanah mendap menyebabkan 3,000 penduduk terdedah kepada bahaya
KUALA LUMPUR: Ketenangan penduduk Taman Bukit Segar, Cheras tergugat sejak
setahun lalu berikutan kejadian tanah mendap di kaki bukit kediaman mereka
hingga mengakibatkan longkang runtuh dan laluan pejalan kaki berlubang.
Situasi kurang menyenangkan itu lebih dirasai 12 keluarga yang tinggal di
bahagian lereng apabila mendapan semakin melebar, kedalaman meningkat
disebabkan hujan lebat, baru-baru ini.
Jika dibiarkan, kawasan yang didiami lebih 3,000 penduduk sejak 20 tahun itu
terdedah kepada bahaya, termasuk ditimpa tanah runtuh atau kemalangan lain
yang membabitkan kehilangan nyawa.
Pengarah Pusat Perkhidmatan MCA Bahagian Cheras, Dr Jeffrey Goh, berkata
pihaknya akan mengusulkan supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaik
taraf sistem perparitan yang dilihat punca utama tanah mendap.
“Longkang kecil tidak mampu menampung aliran air memandangkan ia dibina
sejak taman ini dihuni dua dekad lalu. Kapasiti penduduk bertambah, tetapi
sistem perparitan tetap sama.
“Dengan mata kasar, mungkin kita tidak nampak kesannya, namun seperti api
dalam sekam ia membawa bencana jika tidak diperbesarkan mengikut keperluan.
Saya memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan keselamatan penduduk.
“Kita tidak mahu tragedi tanah runtuh berlaku, tambahan pula kawasan ini
terletak di bahagian kaki bukit sedangkan air mengalir dari atas amat deras,”
katanya ketika lawatan ke lokasi, baru-baru ini.
Turut meninjau kawasan terbabit ialah Pegawai Teknikal DBKL, Manuel Jeyaraj
bersama wakil jawatankuasa penduduk Taman Bukit Segar.
Jeffrey berkata, usaha membaik pulih longkang pecah berikutan mendapan bukan
penyelesaian kerana sistem perparitan yang digunakan sejak 20 tahun lalu
perlu dinaikkan taraf sejajar peningkatan kapasiti penduduk.
“Kami sudah berbincang dengan wakil DBKL dan mereka juga melihat situasi ini
sebagai masalah yang perlu diambil tindakan segera. Jika sistem pengairan
dan perparitan ditingkatkan, kami pasti tiada lagi isu mendapan tanah,”
katanya.
Berikutan mendapan tanah yang dilihat agak serius hingga menyebabkan lubang
dan longkang pecah, ia dikhuatiri mendatangkan bahaya kepada pejalan kaki
memandangkan laluan berkenaan sering digunakan untuk berjoging.
Ejen insurans yang berpindah ke situ beberapa bulan lalu, Lee Fong Thye, 40,
mengakui sudah mengemukakan aduan kepada DBKL, tetapi wakilnya hanya datang
melawat tanpa tindakan susulan.
“Saya pernah menghubungi dan menghantar surat kepada DBKL. Mereka datang dua
kali namun keadaan masih sama. Saya bimbang berlaku kejadian tidak diingini
kerana ada kediaman yang betul-betul di lereng bukit,” katanya.
Peniaga, Lew Swee Keong, 42, berkata tanah mendap bukan pertama kali berlaku,
tetapi ia tidak seteruk sekarang dan paling menakutkan ia boleh menyebabkan
kemusnahan dan mengancam keselamatan.
“Jalan raya yang menghubungkan taman ini dengan laluan keluar masuk juga
berada di kaki bukit. Jika berlalu tanah runtuh, pengguna jalan raya terkena
tempiasnya. Diharap DBKL menimbangkan rayuan kami menaikkan taraf sistem
perparitan di sini,” katanya.
Sementara itu, Manuel, berkata DBKL akan membuat tindakan segera tetapi
segala perancangan serta persiapan membaik pulih atau menaik taraf sistem
perparitan perlu dilakukan secara teliti dan mengikut keperluan. |