This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek terbengkalai cacatkan pembangunan

Utusan Malaysia 2/5/2006

MINGGU lalu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, Datuk Woo Ah Lek memberitahu sebanyak 46 projek perumahan di negeri itu diklasifikasikan sebagai projek terbengkalai.

Lebih menyulitkan kata beliau, kerajaan negeri berhadapan dengan pelbagai masalah untuk memulihkannya kerana sebahagian besar pemaju terbabit tidak dapat dikesan atau 'cabut lari'.

Implikasinya, banyak taman perumahan yang terbengkalai itu menjadi sarang nyamuk dan paling meresahkan ia bertukar kepada 'destinasi' baru penagih dadah untuk mendiami 'rumah mewah' yang serba berpenyakit itu.

Di Seremban sahaja terdapat 20 projek perumahan yang terbengkalai, manakala di Jelebu, 10 projek yang 'hidup segan mati tak mahu', sementara di Jempol (tiga), Kuala Pilah (lima), Port Dickson (tiga), Rembau (dua) dan Tampin (tiga) juga begitu.

Malangnya, rumah masih 'hilang entah ke mana', projek pula tinggal ditumbuhi hutan melata. Pemandangan terus menyakitkan mata, pembeli pula terus berputih mata.

Banyak sebenarnya rungutan yang diterima di kalangan pembeli mengenai projek perumahan terbengkalai, malahan kerajaan negeri juga telah bertindak sebagai perantara bagi mengatur perjumpaan antara pihak pembeli dengan pemaju bagi menyelesaikan kemelut ini.

Mengindahkan

Itu merupakan langkah jangka masa panjang tetapi apa pula usaha untuk menyaksikan 46 projek perumahan terbengkalai ini tidak menjejaskan reputasi sesebuah daerah yang mempunyai agenda tersendiri - mengindahkan bandar dan pekan, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2007.

Hari ini pembangunan pesat di negeri ini, telah mendorong banyak pemaju perumahan membuat pelaburan dengan membina rumah bagi keperluan penduduk. Ada yang berjaya dan memajukan kawasan berkenaan apabila mendapat perhatian wajar pembeli. Ada juga terus papa kedana.

Kita mengalu-alukan pembangunan sedemikian tetapi biarlah telus dan dilakukan dengan janji tepat tanpa dibiarkan terbengkalai dan memalitkan masalah kemudiannya di bahu kerajaan negeri. Ini perbuatan paling malang dan tidak bijak.

Justeru, bagi pemaju perumahan yang telah menabur janji kepada pembeli, eloklah ditunaikan segera.

Bagi pembeli yang berhadapan situasi di mana rumah mereka masih tidak siap dan terbengkalai, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri.

Bak kata Ah Lek, kerajaan negeri kini bergantung kepada Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) untuk mendapatkan dana bagi memulihkan projek terbabit.

Menjadi harapan pembeli, agar projek perumahan terbengkalai di bawah ini, dapat segera dipulihkan dan mengembalikan keyakinan mereka untuk terus melabur mendapatkan sebuah rumah di negeri beradat ini.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.