This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pencemaran di Flat Taman Seri Manja Kritikal

Utusan Malaysia 8/5/2006

PETALING JAYA 7 Mei - Penduduk flat Taman Seri Manja dekat sini menggesa pihak berkuasa bertindak segera mengatasi pencemaran udara yang berpunca dari air larut resap atau leachate kerana ia semakin kritikal.

Penduduk mendakwa telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak pemaju, namun tiada sebarang tindakan susulan yang diambil.

Mereka juga mendakwa, akibat pencemaran itu, barang-barang mereka yang diperbuat daripada logam menjadi kehitam-hitaman, berkarat dan reput.

Di samping itu, kata mereka, peralatan elektrik rumah seperti televisyen, peti ais dan kipas menjadi berkarat dan rosak, biarpun peralatan tersebut baru sahaja dibeli.

Lebih membimbangkan mereka ialah tahap kesihatan penduduk di sekitar kawasan flat itu mungkin terjejas jika pencemaran tersebut dibiarkan berterusan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Taman Seri Manja, Roslan Malik, 43, berkata, persatuan itu akan mengadakan mesyuarat dalam masa yang terdekat untuk membincangkan masalah itu terutama tindakan yang perlu diambil.

Katanya, masalah itu tidak akan timbul sekiranya pihak Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) lebih berhati-hati serta menyelidik terlebih dahulu keadaan tapak sebelum flat berkenaan dibina.

Sementara itu, seorang penduduk, Navamany Subramaniam, 42, berkata, dia sering mengalami masalah sukar untuk bernafas akibat daripada bau busuk berkenaan terutama selepas hujan.

"Selepas hujan, bau busuk itu semakin kuat. Saya sendiri kerap sesak nafas, batuk-batuk, sakit tekak dan pening kepala, "katanya.

Faizal Abu Bakar 31, pula memberitahu, masalah sudah lama menghantui para penduduk flat tersebut.

Katanya, selain bau yang tidak menyenangkan, penduduk di kawasan tersebut juga terpaksa berdepan ,dengan risiko terjejas tahap kesihatan akibat pencemaran itu.

"Kami bimbang sekiranya pencemaran udara itu mengandungi asid berbahaya kerana barang-barang dan dari logam boleh bertukar menjadi hitam hanya dalam tempoh beberapa hari sahaja" katanya.

Suriati Mamat, 35, menggesa pihak berkuasa memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

“Anak saya yang berumur dua tahun pernah jatuh dari tingkat satu akibat bersandar pada pagar besi yang sudah reput menyebabkan tulang pipi dan hidungnya patah pada bulan Ramadan tahun lalu,"katanya.

Mohd. Shairul Zainal Abidin, 23, meminta pegawai MPPJ bersikap ikhlas dan terus dalam menjalankan tugas mereka.

Dia mendakwa, pegawai MPPJ berkata bahawa mereka telah membuat beberapa lawatan ke kawasan tersebut semasa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Azmi Khalid melawat semalam.

"Sedangkan, pegawai MPPJ amat jarang berada di sini.

Kalau ada pun, mereka hanya nak saman orang dan ronda-ronda, bukannya untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Azmi semasa membawa lawatan semalam menyatakan kawasan perumahan itu dibina atas bekas tapak pelupusan sampah tanpa memastikan leachate telah dirawat sepenuhnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.