Pemaju lengah hak milik strata
Kosmo 7/5/2006
SIKAP berdolak-dalik dan melengah-lengahkan urusan penyerahan hak milik
strata kepada pembeli unit kediaman bertingkat menjadi punca pemaju terus 'bermaharajalela'
mengenakan caj penyelenggaraan melampau.
Menurut Pensyarah Undang-undang, Program Pengajian Diploma, Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) , Muhammad Fathi Yusof, ramai pembeli rumah
bertingkat masih kabur mengenai kepentingan hak milik strata yang sepatutnya
diperoleh dalam jangka masa singkat selepas menerima kunci rumah bagi
kediaman baru.
"Hak milik strata merujuk kepada 'geran' yang dikeluarkan untuk setiap unit
atau petak bagi sesebuah bangunan bertingkat," katanya kepada KOSMO! Ahad di
pejabatnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, kepentingan hak milik strata adalah sama pentingnya dengan hak
milik tanah lain dan ia diperlukan untuk menjalankan urus niaga ke atas
petak tersebut seperti urusan gadaian, pindah milik dan sebagainya seperti
yang termaktub dalam Akta Hakmilik Strata 1985.
"Namun apa yang penting, dengan adanya hak milik strata barulah Perbadanan
Pengurusan yang dianggotai oleh wakil penduduk boleh mengambil alih 'kuasa'
pemaju menyelenggara kemudahan bersama seperti lif, kolam renang dan
sebagainya dengan lebih murah," katanya.
Tambahnya, pemaju perumahan di negara ini kerap memberi pelbagai alasan
termasuk Sijil Layak Menduduki (CF) belum dikeluarkan oleh pihak berkuasa
tempatan (PBT) dan dokumen hak milik berasingan belum diterima.
"Ada juga pemaju yang 'menyalahkan' pejabat tanah dengan mendakwa proses
pecah sempadan belum selesai dan status tanah belum bertukar daripada
pertanian kepada tanah bangunan.
"Namun apa yang pasti, semua itu hanya alasan dan pemaju sendiri sebenarnya
tahu mengenai perkara ini," katanya mempersoalkan pematuhan pemaju terhadap
akta berkenaan.
Muhammad Fathi berkata, berdasarkan Seksyen 8, Akta Hakmilik Strata 1985,
pemaju mesti mengemukakan permohonan hak milik strata kepada pejabat tanah
daerah dalam tempoh enam bulan selepas perjanjian jual beli dimeterai dan
kegagalan berbuat demikian, pemaju boleh dikenakan hukuman denda sehingga
RM1000,00.
"Apa yang menyedihkan undang-undang ini hanya tinggal hiasan dan sehingga
hari ini jika dilihat dari sudut praktikal, ia sebenarnya tidak pernah
dikuatkuasakan.
"Dalam hal ini pembeli bukan sahaja terbeban, malah menerima kesan paling
buruk memandangkan terpaksa menanggung caj penyelenggaraan yang hakikatnya
boleh 'dikurangkan' dalam tempoh singkat," katanya. |