This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pegawai tak efisien jejas pengeluaran CF

Berita Harian 17/05/2006

BARU-BARU ini Perdana Menteri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyarankan Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CF) akan digantikan dengan Sijil Penyiapan Bangunan (CC) dan perlu ditandatangani perunding arkitek.

Mengikut Seksyen 25 (1) Undang-undang Kecil seragam Bangunan 1984, CF perlu dikeluarkan sebaik saja bangunan siap dibina dan arkitek mengisi Borang E dalam Jadual Kedua.

Pada muktamadnya, sesebuah bangunan disiapkan seharusnya diletakkan tanggungjawab ke atas perunding, khasnya arkitek bukan saja kerana pembabitannya daripada mula hingga akhir projek, dalam mereka bentuk struktur, peringkat kelulusan, kerja pembinaan dan penyiapan, malah menandatangani semua peringkat pembayaran wang dan pengiktirafan sijil akhir sebagai arkitek layak dan bertauliah. Tugas berat ini bukan mudah diambil alih pihak lain.

Ia memberi satu implikasi pentingnya tugas arkitek menjayakan sesuatu projek. Arkitek diberi tugas berat ini seharusnya layak dan bebas tanpa kepentingan dan percanggahan peribadi dan haruslah seorang profesional sepenuhnya. Dalam kes ini, sijil akhir seharusnya ditandatangani arkitek bebas yang dilantik Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).

Memandangkan proses menyiapkan permohonan sijil kelayakan ini dilakukan arkitek, maka timbul persoalan mengapa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengurangkan yuran pemperosesan? Begitu juga dengan cukai pintu, yang sepatutnya dikurangkan kerana tanggungjawab kerajaan dikurangkan.

Langkah menswastakan sesuatu pelaksanaan projek kepada pihak swasta menambahkan kos beban pengguna kerana pihak swasta selalunya mementingkan keuntungan dalam menyediakan perkhidmatan itu. Apakah penswastaan satu jalan penyelesaian yang baik?

Pada pendapat saya, sebenarnya masalah berlarutan yang berkaitan dengan pengeluaran CF adalah berpunca daripada sikap sesetengah pegawai PBT yang tidak mengendalikan tugas dengan efisien, menyebabkan proses tertunda dan lambat untuk mendapatkan CF dalam industri pembinaan dan perumahan.

Usaha ini perlu berterusan sekiranya kita berhasrat memajukan negara pada peringkat antarabangsa. Langkah menggantikan CF dengan CC adalah bijak tetapi tidak lengkap dan belum mencapai matlamat akhir.

GOO HUEY KIAM,
Arkitek Firma Goo Huey Kiam,
Kuala Lumpur.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.