This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Lanjut jaminan rumah

Berita Harian 8/5/2006

SHAH ALAM: Pemaju perumahan disaran melanjutkan tempoh jaminan kecacatan rumah yang dijual mereka lebih daripada 18 bulan yang disyaratkan bagi meningkatkan keyakinan pembeli sekali gus meningkatkan kualiti industri hartanah negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata jika pemaju menghasilkan produk dengan bahan binaan berkualiti serta mengikut spesifikasi, ia boleh bertahan walaupun tempoh jaminan kecacatannya tamat.

Katanya, tidak ada alasan bagi sesebuah rumah yang baru diduduki mengalami masalah besar selepas berakhirnya tempoh kecacatan.

"Justeru, langkah pemaju seperti Kumpulan SP Setia Bhd melanjutkan tempoh jaminan kecacatan sehingga 18 bulan lagi (menjadi 36 bulan) adalah satu perkembangan baik bagi industri hartanah negara.

"Langkah mereka yang pertama bagi pemaju perumahan wajar dicontohi pemaju perumahan lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Setia 18+18 Home Warranty di sini, semalam.

Tempoh jaminan kecacatan yang dibenarkan Akta Pemaju Perumahan 1966 terhadap rumah yang dijual adalah 18 bulan selepas rumah diterima pembeli atau selepas mendapat sijil layak menduduki (CF).

Ditanya sama ada lanjutan tempoh jaminan itu akan dijadikan piawaian industri hartanah negara, Ong berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu membuat kajian mengenainya.

Kajian itu, katanya, termasuk mencari sebab kenapa tempoh kecacatan sedia ada ditetapkan kepada 18 bulan.

Katanya, jika ia menjadi amalan kelak, pemaju perumahan yang tidak mampu menghasilkan produk hartanah berkualiti akan dapat dikurangkan kerana pembeli akan memilih pemaju yang menawarkan produk berkualiti dan jaminan lebih tempoh panjang.

Ong berkata, semua pihak dalam industri hartanah perlu memainkan peranan bersama dan saling bekerjasama bagi memastikan keberkesanan dan manfaatnya kepada pengguna.

"Jika mereka dalam industri berkenaan seperti pemaju, arkitek, jurutera, pembekal dan pihak bank boleh bekerjasama sebelum sesuatu projek dimulakan, mereka juga sepatutnya terus bekerjasama selepas itu.

"Sebaliknya, semua pihak yang berkaitan industri hartanah kini membuat keputusan sendiri dengan hanya menjaga kepentingan masing-masing yang akhirnya menimbulkan masalah lain terutama kepada pembeli hartanah," katanya.

 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.