This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Jalan ke apartmen bagai perangkap maut

22/05/2006 Harian Metro

HULU SELANGOR: Kira-kira 50 keluarga penghuni Apartmen Widuri, Bukit Beruntung 18, dekat sini, diancam maut setiap hari berikutan jalan utama menghubungkan penempatan mereka hampir runtuh, sejak sebulan lalu. Penduduk mendakwa sistem longkang yang tidak sempurna itu, jika tidak diambil tindakan sewajarnya boleh mengancam keselamatan mereka kerana jalan terbabit adalah satu-satunya laluan ke apartmen berkenaan.

Selain itu, penduduk bimbang jalan itu runtuh pada bila-bila masa memandangkan sebahagian besar tebing longkang tanah di sebelah kiri jalan, semakin terhakis akibat aliran air deras terutama hujan lebat.

Keadaan itu menyebabkan satu lingkaran seolah-olah kolam terbentuk di tengah-tengah kawasan runtuhan sedalam hampir lima meter dan terus bergerak terus ke arah jalan utama.

Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Widuri, Sabani Harum, 42, berkata hujan lebat sejak sebulan lalu menyebabkan air mengalir deras ke kawasan itu dan menghilis longkang di bahu kiri jalan.

Katanya, pada peringkat awal keadaan runtuhan tidak begitu serius, namun ia menjadi sebaliknya apabila longkang semula jadi tidak mampu lagi mengawal aliran air deras.

"Punca runtuhan tanah ini kerana sistem saliran tidak sempurna dan menyekat aliran air. Longkang simen yang dibina kontraktor pula tidak sistematik dan hanya separuh saja dan selebihnya adalah longkang semula jadi.

"Akibatnya apabila hujan lebat aliran air deras menghakis tanah dan membawa lumpur serta batu-batu yang tersekat di hujung longkang dan melimpah.

"Selain itu, dikawasan hadapan tempat ini ada beberapa lombong yang apabila hujan airnya melimpah dan mengalir masuk ke sini," katanya yang tinggal di situ sejak tiga tahun lalu.

Menurut Sabani, masalah itu sudah dilaporkan kepada kontraktor dan pemaju terbabit, yang menegaskan ia di luar bidang kuasa mereka.

"Namun, wakil pemaju ada datang meninjau tempat ini dan mengambil gambar serta membuat pemantauan. Mereka menyarankan persatuan penduduk melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

"Pihak kami kemudian menulis surat kepada MDHS pada 18 Mei lalu dan masih menunggu tindakan lanjut," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati tanah runtuh itu berukuran kira-kira 150 meter panjang dan amat berbahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.