Caj sesuka hati
Kosmo 7/5/2006
TIDAK cukupkah untung yang mereka kaut? Itulah persoalan dilemparkan
terhadap segelintir pemaju projek perumahan khususnya rumah pangsa,apartmen
kos sederhana dan kondominium yang mengenakan caj penyelenggaraan melampau
tetapi tidak setimpal dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan.
Jumlah caj yang dikenakan pula 'pelbagai'. Ada pembeli yang hanya perlu
membayar RM30, namun tidak kurang pula terpaksa memperuntukkan RM1000 hingga
RM200 setiap bulan.
Penyelenggaraan yang dimaksudkan termasuklah kemudahan lif, pungutan sampah,
pembersihan parit-parit awam, pemotongan rumput di rezab jalan dan jika ada,
khidmat kawalan keselamatan 24 jam.
Namun, berdasarkan siasatan KOSMO! Ahad baru-baru ini, trend mengenakan caj
penyelenggaraan melampau ini sebenarnya semakin 'rancak berlaku.
Pembeli pula seperti tidak boleh berbuat apa-apa lantas bayaran caj
penyelenggaraan bulanan yang dikenakan sekali ganda jumlah bil elektrik dan
air yang digunakan setiap bulan terpaksa dijelaskan tanpa sepenuh rela.
Manakan tidak, lif yang sepatutnya berfungsi 24 jam rosak saban waktu.
Sampah pula bertimbun di tong besar tidak diangkut beberapa hari dan
kemudahan asas lain seperti lampu jalan dan koridor malap sentiasa.
"Apartmen kos sederhana empat tingkat tanpa lif, pengawal keselamatan yang
kerap tertidur di samping kemudahan yang sangat sedikit tetapi caj yang
dikenakan RM75 sebulan.
"Tetapi apa yang saya geram lewat bayar dua bulan air di apartmen dipotong
tanpa sebarang notis," keluh seorang pembeli rumah di Batu Caves, Muhammad
Hilman Ahmad, 28, kepada KOSMO! Ahad.
Apa yang pasti, ramai di kalangan pembeli kediaman tidak mengetahui caj
penyelenggaraan yang dikenakan terhadap mereka itu bukanlah hak mutlak
pemaju dan bersifat kekal seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Hakmilik
Strata 1985.
Menurut akta itu, bayaran perkhidmatan penyelenggaraan hanya wajib dibayar
kepada pemaju bermula dari tarikh pemilikan kosong sehingga penubuhan satu
Perbadanan Pengurusan (Management Corporation).
Menerusi Perbadanan Pengurusan, jawatankuasayang dianggotai wakil pemaju,
pembeli dan penduduk ini akan menguruskan segala hal berkaitan khidmat
penyelenggaraan dan pada kebiasaannya, jumlah caj boleh dikurangkan sehingga
50 peratus daripada yuran yang dikenakan oleh pemaju.
Dalam hal ini, setiap Perbadanan Pengurusan dengan menggunakan budi bicara,
bebas mendapatkan khidmat penyelenggaraan, kawalan keselamatan yang jauh
lebih murah seterusnya mengurangkan beban pemilik dan penghuni kediaman
terbabit.
Namun, itu hanya 'penyelesaian' yang hakikatnya tidak melenyapkan langsung
kerakusan para pemaju terus mengaut untung.
Ini kerana, Perbadanan Pengurusan itu hanya boleh dibentuk sekira pemilik
unit-unit kediaman berkenaan menerima Hakmilik Strata masing-masing.
Dalam hal ini, pelbagai alasan diberikan demi 'melengah-lengahkan' pungutan
caj penyelenggaraan termasuklah menyalahkan pejabat tanah dan pihak berkuasa
tempatan (PBT) kerana lewatnya Sijil Layak Menduduki (CF) dan sebagainya.
|