Vista Lavender retak sana-sini
Kosmo 3/4/2006
PUCHONG- Persatuan Penduduk Pangsapuri Vista Lavender yang mewakili pemilik
kira-kira 1,790 unit rumah menggesa kerajaan menyiasat tahap keselamatan
lapan blok pangsapuri berkenaan.
Pengerusinya, Nor Azura Abdullah mendakwa, hanya satu daripada lapan blok
pangsapuri menerima sijil layak menduduki (CF) manakala selebihnya masih
diklasiflkasikan sebagai CF sementara.
"Kami sudah tinggal di sini sejak hampir tiga tahun lalu tanpa mengetahui
tahap keselamatan kami.
"Banyak bahagian bangunan yang retak, bocor dan dibina tanpa mengikut
spesifikasi ditetapkan undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhhar selepas satu mesyuarat khas
diadakan antara persatuan penduduk berkenaan dengan Ahli Parlimen Puchong,
Lau Yeng Peng semalam.
Nor Azura kecewa dengan kemudahan yang disediakan oleh pemaju dan ia tidak
langsung menepati gambaran awal ketika promosi jualan Vista Lavender dibuat.
Tinjauan KOSMO!di sekitar pangsapuri itu mendapati, banyak jalur rekahan
selebar lima milimeter kelihatan hampir di setiap sudut bangunan.
Malah kedudukan tempat letak kereta di aras bawah tanah turut tidak
dilengkapi penanda arah sekali gus boleh mengundang padah.
Penduduk juga mendakwa sudah banyak kali mengadukan perkara sama sejak dua
tahun lalu namun tiada tindakan yang diambil.
"Itu masalah keselamatan, belum lagi masalah penyelenggaraan. Setiap rumah
dikenakan yuran RM74 sebulan.
"Peruntukan penyenggaraan jika dibayar oleh semua rumah akan berjumlah
RM132,460 setiap bulan, tetapi kami tidak tahu bagaimana wang itu digunakan,"
dakwa Nor Azura.
Dia turut meminta pihak berkuasa tempatan atau Badan Pencegah Rasuah (BPR)
membuat satu siasatan terperinci bagaimana duit penyenggaraan itu ditadbir.
Penduduk masih belum menerima penyata akaun yang telah diaudit sejak tahun
2001, katanya.
Yeng Peng berjanji akan membawa perkara ini kepada pengetahuan Majlis
Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk tindakan segera. |