Talam lantik IJM kontaktor
utama projek terbengkalai
22/04/2006
Berita Harian
TALAM Corporation Bhd (Talam) yang dibebani hutang berjumlah RM1.2 bilion
melantik IJM Corporation Bhd (IJM) sebagai kontraktor utama bagi menyiapkan
projek perumahannya yang terbengkalai.
Talam ketika ini mempunyai 12,000 unit kediaman terbengkalai di beberapa
projek sekitar Lembah Klang.
Pengerusi Eksekutif Talam, Tan Sri Chan Ah Chye, berkata pelantikan IJMitu
sebahagian daripada cadangan penstrukturan semula hutang syarikat itu
seperti yang dipersetujui dengan peminjam terbesarnya.
"Talam baru-baru ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan salah
satu peminjam utama bagi membolehkan syarikat menyiapkan semua projek
perumahannya yang terbengkalai tanpa sebarang gangguan.
"Bank terbabit bersetuju untuk menangguh pungutan hutang sehingga projek
siap dan melantik IJM sebagai kontraktor utama yang sudah memberi jaminan
menyiapkannya mengikut jadual dan mengikut kualiti dipersetujui.
"IJM juga menanggung semua kos pembinaan," katanya pada taklimat media di
Kuala Lumpur, semalam.
Pelantikan IJM itu mungkin menyaksikan cadangan pembelian 25 peratus saham
Kumpulan Europlus Bhd (Europlus), syarikat bersekutu Talam, oleh IJM
direalisasikan dalam tempoh terdekat, setelah beberapa kali tertangguh.
Talam menguasai 25 peratus kepentingan dalam Europlus. Chan berkata,
perjanjian rasmi dengan bank itu dimeterai selewat-lewatnya dalam tempoh
sebulan lagi.
Beliau berkata, kos menyiapkan 12,000 unit terbengkalai itu sekitar RM700
juta hingga RM800 juta.
"Kami menjangka menyiapkan separuh daripada jumlah itu tahun ini," katanya.
Beliau juga berkata, Talam berbincang dengan peminjam lain bagi mencari
penyelesaian terbaik melunaskan hutangnya.
"Kami menyiapkan semua projek terbengkalai. Ia tanggungjawab sosial, moral
dan korporat Talam," katanya |