This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Talam jamin siapkan 6,000 rumah terbengkalai
Utusan Malaysia 22/4/2006 Oleh Hisyamuddin Ayub

KUALA LUMPUR 21 April - Talam Corporation Bhd. (Talam) yakin menyiapkan sehingga 50 peratus daripada 12,000 buah rumah dibangunkannya yang terbengkalai pada tahun ini melalui kerjasama dengan IJM Corporation Bhd. (IJM).

Pengerusi Eksekutif Talam, Tan Sri Dr. Ir. Chan Ah Chye berkata, Talam juga memberi jaminan pembangunan bagi projek-projek berkenaan akan menghasilkan unit-unit kediaman yang lebih baik dan berkualiti.

“Kami mengakui telah melakukan kesilapan sebelum ini, yang mana tidak memberi tumpuan penuh kepada pengawasan projek dan menyebabkan banyak projek perumahan Talam mengalami masalah.

“Tetapi, kami yakin untuk memperoleh kepercayaan pembeli selepas ini setelah berjaya mengadakan usaha sama dengan IJM dan pihak IJM pula berjanji untuk menyediakan rumahrumah yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan IJM di sini hari ini.

IJM melalui anak syarikatnya, IJM Construction Sdn. Bhd. akan menjadi kontraktor utama bagi menyiapkan sebahagian besar projek-projek perumahan Talam yang tergendala.

Selain itu, Talam turut mengadakan kerjasama dengan kontraktor-kontraktor lain untuk menyudahkan sebilangan kecil projek yang tidak dilaksanakan oleh IJM.

Menurut Ah Chye, kos untuk menyambung semula semua projek-projek yang tergendala itu ialah antara RM700 juta hingga RM800 juta dan pihaknya telah mendapat kerjasama daripada sebuah institusi kewangan untuk membenarkan Talam menggunakan wang yang diterima daripada pembeli untuk membuat bayaran kepada kontraktor.

Beliau yang menekankan bahawa kerjasama dengan IJM akan bermula dalam masa sebulan berkata, pihaknya yakin semua projek tergendala itu dapat disiapkan menjelang akhir 2007.

Tambahnya, penstrukturan semula Talam akan memberi nafas baru kepada kumpulan itu untuk menyiapkan projek yang tergendala dengan kerjasama kontraktor seperti IJM.

Menurutnya, pihaknya pada masa ini hanya akan menumpukan sepenuh perhatian untuk membina kembali keyakinan pembeli terhadap kualiti serta keupayaan Talam.

Kata beliau, IJM setakat ini telah melaksanakan dua projek perumahan Talam secara 50:50 dan beliau yakin kerjasama antara kedua-dua pihak bakal merubah nasib syarikatnya dan mengembalikan reputasi mereka selaku antara peserta terbesar dalam industri hartanah.

Mengulas masalah kualiti yang dihadapinya sebelum ini, Ah Chye berkata, banyak kesilapan melibatkan kelonggaran pemantauan Talam terhadap kontraktor, sub-kontraktor dan pegawai pengawasannya sendiri.

Katanya, pihak-pihak yang tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan itu telah dikenalpasti dan disingkirkan daripada sebarang hubungan dengan Talam.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.