Rumah baru dibeli retak, bocor
Berita Harian 06/04/2006
SAYA adalah di antara pemilik rumah teres baru dua tingkat di kawasan
perumahan Seksyen 3, Bangi. Rumah itu terletak tidak jauh dari tempat kerja
saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Harganya agak mahal bagi rumah teres berkeluasan 20 X 65 dan pada mulanya
saya sangka ia satu pelaburan hartanah yang menguntungkan tetapi jangkaan
saya meleset.
Selepas berpindah ke rumah baru ini tidak sampai sebulan, rumah itu mulai
mengalami kerosakan seperti dinding retak dan siling bocor.
Keadaan semakin buruk apabila hujan yang menyebabkab lantai ‘parquet’ turut
rosak. Apa yang lebih mengecewakan adalah sikap endah tak endah dan janji
palsu pemaju.
Mereka seperti lepas tangan selepas mendapat keuntungan besar tanpa
mempedulikan khidmat selepas jualan untuk pelanggan mereka.
Saya kesal kerana pemaju berkenaan gagal memperbaiki kerosakan rumah
walaupun ia masih dalam ‘tempoh liabiliti kerosakan’.
Walaupun aduan diajukan kepada pemaju melalui telefon dan perjumpaan sejak
tiga minggu lalu, sehingga kini masih tiada tindakan. Pejabat sementara yang
dibina di kawasan perumahan itu untuk membantu pelanggan juga tidak pernah
dibuka.
Saya kemudian menghubungi jurutera projek untuk memaklumkan kerosakan itu,
namun belum ada tindakan diambil. Saya kemudian mengunjungi pejabat pemaju
itu di Kuala Lumpur untuk membuat aduan.
Sekali lagi saya tertipu dengan janji manis mereka untuk mengambil tindakan
dalam masa empat hari.
Apa yang pasti, bukan saya seorang mengalami pengalaman buruk ini, malah
ramai lagi pemilik rumah Seksyen 3, Bangi yang terpaksa menanggung kos
membaiki rumah sendiri akibat kerenah birokrasi dan kualiti rumah yang
rendah.
Cukuplah kita dibebani harga rumah yang mahal, kadar faedah yang tinggi dan
bayaran progresif bank yang ditanggung selama ini untuk rumah yang kurang
memuaskan.
PEMBELI KECEWA,
Seksyen 3, Bangi. |