Projek perumahan perlu
terancang elak bencana
Utusan Malaysia 22/4/2006
SHAH ALAM 21 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pemaju
perumahan mempunyai pelan terancang yang tidak memusnahkan alam sekitar
terutamanya sistem pengairan semula jadi yang boleh mengakibatkan bencana
alam sekali gus mencetuskan kemarahan pembeli rumah.
Perdana Menteri menegaskan, setiap pembangunan perlu mengambil kira apa yang
akan berlaku pada masa depan dan bukan sekadar untuk mengisi projek yang
dirancang.
Beliau berkata, dalam banyak kes, pihak pembeli sesuatu projek perumahan
tidak pernah terfikir bahawa kawasan tersebut akan mengalami banjir besar
pada masa depan.
Bagaimanapun, kata Abdullah, banjir itu akhirnya berlaku kerana pihak pemaju
bertindak menimbus sungai kecil di kawasan berkenaan bagi menambah lagi
pembinaan unit-unit rumah.
"Kejadian ini berlaku...pemaju menimbus sungai untuk meluaskan pembinaan.
Tempat yang sepatutnya menjadi laluan air sudah dibuat rumah dan apabila
hujan lebat kawasan tersebut banjir.
"Kemudian apabila masuk TV3, semua sudah jadi kelam-kabut. Wakil rakyat pun
jadi kelam-kabut dan terpaksa menghadapi kemarahan orang ramai,'' katanya.
Abdullah berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Sistem
Pendaftaran Terbuka Berkomputer yang seragam bagi rumah kos rendah di Dewan
Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting
dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Perdana Menteri menambah, situasi tersebut akan mencetuskan tindakan
tuduh-menuduh antara satu pihak dengan pihak yang lain.
"Pemaju yang tumbangkan pokok dan tarah bukit dan apabila hujan lebat air
masuk ke sungai... sungai pula jadi kotor dan merah.
"Maka apabila sungai kotor, air sungai itu tidak boleh diminum pula orang
yang menggunakannya akan mengamuk. Kita sebenarnya yang membuat semua
masalah ini,'' katanya.
Abdullah berkata, sekiranya sesuatu projek pembangunan itu dirancang dengan
betul dan baik, perkara seperti itu tidak akan berlaku.
Beliau berkata, masalah pembangunan hartanah seperti itu menimbulkan banyak
masalah kepada rakyat dan kemarahan yang tidak semena-mena.
"Bagi sesebuah kawasan maju, memang kita perlukan semua pembangunan ini
tetapi ia perlu dilakukan dengan terancang, baik, tepat dan jangan timbulkan
kesusahan kepada rakyat.
Pada sidang media selepas itu, Abdullah berkata, sistem pendaftaran terbuka
berkomputer yang dilancarkan itu akan memberikan kemudahan kepada rakyat
sekiranya digunakan dengan sepenuhnya.
Beliau berkata, sistem tersebut juga mungkin boleh dikemas kini dengan
memberi maklumat tertentu kepada pembeli mengenai lokasi, bentuk, harga dan
pinjaman bank.
Sistem pendaftaran terbuka berkomputer itu diperkenalkan oleh Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak 1997 tetapi tidak diseragamkan.
Sistem seragam ini bercirikan tiga perkara utama iaitu pendaftaran terbuka
sepanjang masa, pemberian markah dan pemilihan bakal pembeli melalui
komputer bagi semua negeri.
|