Penduduk kecewa tahap khidmat
Apartmen Intana Ria 2
Utusan Malaysia 18/4/2006
BANGI 17 April - Indah khabar dari rupa! Harapan penghuni Apartmen Intana
Ria 2 untuk hidup selesa dengan mernbeli rumah yang menawarkan pelbagai
kemudahan tidak menjadi kenyataan ekoran tahap penyelenggaraan yang
mengecewakan.
Lebih menyakitkan hati mereka apabila terpaksa membayar yuran
penyelenggaraan bulanan tinggi sedangkan ia tidak setimpal dengan tahap
perkhidmatan ditawarkan oleh pihak pengurusan.
Seorang penduduk, Dahniar Talib, 44, mendakwa aduan demi aduan telah dibuat
kepada pemaju, namun tidak ubah seperti mencurah air ke daun keladi.
Antaranya, sudah banyak kali masalah lampu rosak diadukan malah kini hampir
terjatuh di bahagian koridor bangunan namun hingga kini tiada tindakan
diambil.
"Kami tak kisah sangat fasal yuran penyelenggaraan jika perkhidmatan yang
disediakan memuaskan hati.
"Rumah saya pernah empat hari tiada siaran televisyen. Apabila saya adukan
kepada pihak penyelenggara bangunan, mereka suruh saya pasang Astro. Jawapan
tersebut amat mengecewakan saya yang membayar yuran penyelenggaraan setiap
bulan tanpa gagal," katanya kepada Utusan Malaysia barubaru ini.
Tambah Dahniar, jika terdapat masalah bekalan elektrik bagi lampulampu di
koridor sesetengah tingkat apartmen, secara tidak langsung ia turut
menjejaskan siaran televisyen di rumahnya.
Dia percaya terdapat kesilapan pada sistem pendawaian bekalan elektrik di
apartmen tersebut.
Seorang penghuni lain, Siti Hajar Syed Ghaibi, 31, pula mendakwa dimaklumkan
oleh pihak bank yang apartmen tersebut masih belum memiliki sijil layak
menduduki (CF).
Namun katanya, kebenaran dakwaan itu tidak dapat disahkan apabila pihak
pemaju tidak memberikan jawapan yang tepat mengenai status CF tersebut.
"Jika dakwaan tersebut betul, macam mana pemaju boleh beri kunci kepada kami?
Kalau terjadi apa-apa kepada kami, siapa akan bertanggungjawab?" soalnya.
Dia turut mempersoalkan kenapa kadar yuran penyelenggaraan ke atas penghuni
Apartmen Intana Ria 1 jauh lebih rendah sedangkan segala kemudahan yang
disediakan kepada penduduk Intana Ria 2 juga digunakan oleh mereka.
"Apabila kami bangkitkan kepada pemaju, mereka beri alasan blok kami ada
kemudahan lif.
"Berdasarkan slip pembayaran yuran penyelenggaraan tersebut, bayaran paling
mahal dikenakan untuk perkhidmatan pengawal keselamatan tetapi kami
mendapati pengawal yang sama terpaksa dikongsi dengan Intana Ria 1," katanya.
Siti Hajar turut tidak berpuas hati dengan kemudahan kolam renang yang
disediakan kerana dalam seminggu hanya beberapa hari sahaja boleh digunakan
dengan alasan kolam tersebut dicuci.
Hana Mohd. Yusuff, 26, pula kesal kerana pemaju seolah-olah tidak menitik
beratkan soal keselamatan penduduk.
"Walaupun besi pencangkuk alat pemadam api dipasang tetapi alat tersebut
tidak disediakan.
'Kalau alat pemadam keselamatan belum disediakan, jangan pasang dahulu besi
pencangkuk. Ia membahayakan kerana kedudukannya dekat dengan lif," katanya.
Dia turut kecewa kerana medan letak kereta berbumbung yang dipasang pemaju
runtuh dalam kejadian hujan lebat bulan lalu.
"Jika ia dipasang secara betul, perkara seperti ini tidak akan berlaku dan
penduduk tidak menjadi mangsa," katanya.
Rosmawati Mohd, 27, pula mahu pihak pemaju memberi penjelasan mengenai amaun
bil air yang dikenakan ke atas mereka.
Katanya, sepatutnya tunggakan yang dikenakan ke atas mereka adalah mengikut
bil sebelumnya, namun lain pula yang terjadi.
"Bezanya pula bukan sedikit, malah mencecah ratusan ringgit. Saya pun tidak
faham macam mana pemaju membuat kiraan," katanya. |