Pemaju kurang minat bina rumah
kos rendah boleh berundur
Berita Harian 4/4/2006
DALAM Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebanyak 709,400 rumah baru
diperlukan dengan 38.2 peratus daripadanya adalah rumah kos rendah dan
sederhana rendah serta rumah untuk golongan miskin. Pelaksanaan program ini
perlu diberi perhatian serius, khususnya bagi menyediakan kediaman lebih
sempurna demi meningkatkan kualiti hidup rakyat. Ia juga seiring dengan
hasrat kerajaan dalam memastikan setiap rakyat memiliki kediaman sendiri.
Tanggungjawab sosial ini perlu dipikul bersama pemaju perumahan agensi
kerajaan dan swasta walaupun ada yang kurang berminat untuk melaksanakannya.
Kita mendengar banyak rungutan, khususnya daripada pemaju perumahan swasta
yang mendakwa membina rumah jenis itu tidak menguntungkan atau keuntungannya
sedikit saja.
Tidak kurang dakwaan rumah itu tidak dapat dijual walaupun pada kadar yang
dikatakan mampu dibeli golongan berpendapatan rendah. Mereka jika boleh
mahukan syarat kuota 30 peratus pembinaan rumah kos rendah dimansuhkan.
Namun, kita lega apabila kerajaan memberi jaminan mengekalkan syarat kuota
30 peratus rumah kos rendah RMK-9, tetapi kerajaan negeri diberi kuasa
menentukannya berdasarkan kawasan serta permintaan. Pemaju perumahan agensi
kerajaan dan swasta tetap dikenakan syarat itu bagi menjamin rakyat,
terutama berpendapatan rendah mampu memiliki rumah.
Dengan ketegasan itu, kerajaan negeri dan pemaju swasta tidak seharusnya
menggunakan alasan ‘kurang berminat’ membina perumahan berkenaan berdasarkan
keuntungannya yang sedikit berbanding perumahan kos sederhana dan tinggi.
Pemaju perumahan perlu menyedari tanggungjawab bersama dalam memastikan
program perumahan penduduk miskin dalam RMK-9 dapat dilaksanakan dengan
berkesan.
Begitu pun, kita berharap rumah yang disediakan berkualiti, sesuai serta
selamat didiami. Kita tidak mahu mendengar lagi masalah rumah tidak mengikut
spesifikasi, kekurangan kemudahan, retak, bocor dan sebagainya. Dalam hal
ini, kita pasti kerajaan tidak akan bertolak ansur dan akan memastikan
kediaman itu berkualiti walaupun ia rumah kos rendah.
Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian serius adalah dari segi pemilikan
rumah kos rendah itu. Sebelum ini, ada kes mereka yang layak tidak
ditawarkan untuk membeli rumah kos rendah, sebalik mereka berpendapatan
tinggi berjaya memilikinya.
Difahamkan kes sebegini berlaku disebabkan kecuaian pengawasan dan kawalan
pengagihan rumah kos rendah. Ada juga yang memberikan maklumat palsu bagi
membuktikan mereka layak memiliki rumah itu. Keadaan ini jika terus berlaku
akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk membolehkan golongan berpendapatan
rendah memiliki rumah.
Justeru, garis panduan pembelian rumah kos rendah yang disediakan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu dilaksanakan dengan amanah
dan telus.
Agensi yang bertanggungjawab menguruskan pengagihan rumah kos rendah perlu
memastikan mereka yang benar-benar layak mendapat hak mereka. |