MPS sedia bantu orang ramai
atasi masalah
Kosmo 19/4/2006
SEREMBAN - "Pegawai-pegawai saya bersedia sepanjang masa untuk membantu
orang ramai yang mempunyai sebarang masalah."
Itulah janji Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Abdul Halim
Abdul Latif kepada penduduk-penduduk di bandar ini yang mempunyai sebarang
keraguan atau aduan untuk disampaikan.
Menurut Abdul Halim, pelbagai saluran telah disediakan kepada masyarakat
Seremban, terpulang kepada mereka untuk menggunakan saluran mana yang paling
sesuai dan mudah.
"Kita ada menyediakan sistem e-Aduan, program sehari bersama pelanggan,
talian hotline dan kaunter aduan yang akan melayan orang ramai setiap hari
tanpa jemu.
"Pendekatan yang pelbagai ini memandangkan jumlah penduduk Seremban yang
hampir 300,000 orang, secara tidak langsung memudahkan kita membuat
pemantauan berbanding rutin harian," katanya ketika dihubungi KOSMO! sempena
program Sehari Bersama Pelanggan MPS yang berlangsung kelmarin.
Tambah Abdul Halim, program Sehari Bersama Pelanggan merupakan rutin bulanan
yang diadakan sejak tiga tahun yang lalu sebagai satu kaedah dalam
mendekatkan masyarakat dengan MPS.
Program Sehari Bersama Pelanggan yang berlangsung selama 3 jam di Bilik
Pameran Dewan MPS itu mendapat reaksi positif masyarakat dengan sambutan
yang menggalakkan.
Sejumlah 35 aduan dikumpulkan yang berkaitan dengan pelbagai masalah seperti
perlesenan, pelan, perancangan bandar dan sebagainya. |