Menetap 10 tahun di pangsapuri
terbiar
25/04/2006 Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 24 April - Menakutkan! Tidak ubah seperti rumah tinggal tetapi
ada penduduk yang menetap di situ sejak 10 tahun lalu, begitulah keadaan Pangsapuri Blok C, Taman Kuchai Jaya, dekat sini.
Keadaan bawah blok bersawang, saluran-saluran air bocor, wayar berserabut
serta gelap sudah menjadi pemandangan biasa bagi para penduduk. Namun di
manakah silapnya?
Seorang penduduk, A. Ganesan, 47, berkata, keadaan tersebut sudah berlarutan
sejak 10 tahun yang lalu.
Katanya, pihak pemaju tidak melaksanakan penyelenggaraan berikutan
kebanyakan pemilik rumah tidak membayar yuran penyelengaraan setiap bulan.
Tambahnya, bayaran penyelenggaraan diabaikan apabila kebanyakan pemilik
menyewakan rumah mereka.
"Keadaan menjadi semakin teruk dan tidak terkawal. Saya tidak tahu ke mana
mahu minta pertolongan kerana kebanyakan pemilik pangsapuri ini mengambil
sikap tidak mengambil kisah.
"Mereka tidak tinggal di sini tetapi saya dan pemilik lain juga terpaksa
menanggung akibat daripada sikap mereka itu," katanya kepada Utusan
Malaysia, di sini.
Tambah Ganesan, kawasan pangsapuri yang gelap juga menyumbang kepada
aktiviti pencurian yang berleluasa di kawasan tersebut.
Katanya, kini surat-surat diletakkan di dalam tong minyak yang telah
dipotong dua selepas kotak surat aluminium yang diletakkan di tingkat bawah
dicuri sejak empat tahun lalu.
"Kalau tidak bernasib baik, surat akan hilang. Posmen pun tidak tahu di mana
mahu letakkan surat tersebut. Kecurian motor juga selalu berlaku di kawasan
ini," tambahnya.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati Blok C, satu daripada empat blok
di pangsapuri itu dicemari dengan sampah bahan binaan, tilam buruk dan
bermacam-macam jenis sampah kering yang dikumpulkan di satu sudut bawah
bangunan tersebut.
Menurut Ganesan, sampah sarap yang memenuhi tebing bersebelahan bangunan
tersebut juga menyumbang kepada pembiakan nyamuk.
"Kami sebenarnya tidak selesa tetapi tiada tindakan yang boleh diambil.
Mungkin dengan campur tangan pihak berkuasa tempatan (PBT), kebersihan dan
keindahan bangunan ini dapat dikembalikan bagi memberikan sedikit keselesaan
kepada penghuni," katanya.
Pangsapuri Blok C mempunyai kira-kira 108 unit rumah.
Ah Man, 57, yang telah mendiami pangsapuri itu sejak 13 tahun lalu, berkata
keadaan di situ menjadi semakin teruk sejak kebelakangan ini.
Tambahnya, lif yang telah rosak dan terbiar sejak 10 tahun pula memaksa
penduduk menggunakan tangga yang kadang kala tidak berlampu.
.
"Terdapat dua lif namun keduanya-duanya tidak boleh digunakan, malah jika
dilihat keadaan lif itu amat menyedihkan.
"Sarang labah-labah pula memenuhi setiap ruang lif seperti bangunan terbiar
dan ini amat menyedihkan kami penduduk di sini," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati kebanyakan penduduk yang menetap di
pangsapuri tersebut adalah pendatang asing yang bekerja di kawasan
berdekatan. |