Janji 16, Bina 21
Harian Metro 12/4/2006
BATU CAVES: "Kami tidak mahu kejadian seperti di Highland Tower berulang.Kini
penduduk hidup dalam ketakutan berikutan keseluruhan tiang utama bangunan
mulai retak dan bakal rebah bila-bila masa saja.
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diminta berbuat sesuatu bagi mengelak
tragedi buruk , berlaku dan mengorbankan banyak nyawa," kata wakil
Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri Seri Goh Tong, Batu Caves, M.Kamalakanan.
Beliau berkata, pangsapuri 21 tingkat yang mula diduduki sejak Mei tahun
lalu bukan saja mengalami banyak kerosakan malah didapati tidak menepati
spesifikasi dijanjikan pemaju kepada pembeli.
"Penduduk juga kesal kerana pemaju projek terbabit memungkiri surat
perjanjian jual beli (S&P) apabila membina pangsapuri setinggi 21 tingkat
bukannya 16 tingkat seperti ,yang termaktub dalam perjanjian ini.
"Kini pangsapuri berkenaan hanya menunggu masa untuk rebah kebumi seperti
Higlands Tower sekiranya langkah keselamatan tidak dilakukan dan pihak
pemaju gagal tampil menjelaskan masalah ini kepada kami," katanya ketika
ditemui di pangsapuri berkenaan di sini, semalam.
Kamalakanan berkata, penduduk juga meragui Sijil Layak Menduduki (CF) yang
dikeluarkan pemaju berikutan pangsapuri yang dirancang sebelum ini hanya 16
tingkat saja dan tidak disebut sebagai servis apartmen.
Penduduk berharap pemaju dapat memberikan penjelasan berhubung pembinaan
bangunan tambahan yang tidak sepatutnya berlaku. Tindakan mereka seolah-olah
mengancam nyawa kami dan tidak bertanggungjawab," katanya.
Seorang penduduk, Faizal Ariffin,33, kesal kerana pemaju mengenakan caj
meletak kenderaan 40 sebulan berkuat kuasa 1 Mei depan walaupun tiada
disebut dalam dokumen perjanjian sewaktu pembelian rumah berkenaan.
"Sejak mendiami pangsapuri ini banyak masalah timbul antaranya banjir di
tempat meletak kereta, kolam renang tidak berfungsi dengan baik serta banyak
keretakan dikesan.
"Kami berasa tertipu dengan tawaran pemaju yang berjanji menyediakan
kemudahan asas yang selesa untuk penduduk. Kami berharap MPS campur tangan
bagi mengatasi masalah yang dihadapi dengan segera," katanya.
Sehubungan itu, penduduk membuat laporan di Balai Polis Gombak pada 7 Mac
lalu.
Pangsapuri Seri Goh Tong yang mempunyai tiga dan empat bilik serta dua bilik
air berharga RM99,000 hingga RM178,000 seunit.
Sementara itu, Yang Dipertua MPS, Zainal Abidin Azim, berkata pihaknya akan
menyiasat perkara itu dan meminta penduduk berkenaan mengemukakan aduan
semua permasalahan berkaitan secepat mungkin.
"Saya juga akan mengarahkan pemaju terbabit mengemukakan laporan lengkap dan
berjanji akan mengadakan sesi dialog bersama penduduk, pembeli dan MPS dalam
tempoh terdekat," katanya. |