This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

INB mahu bina 50,000 rumah kos sederhana
Berita Harian 10/4/2006
 
SYARIKAT pembinaan Ikhtiar Niaga Bena Sdn Bhd (INB) merancang membina sehingga 50,000 unit rumah kos sederhana, khusus untuk pekebun kecil di seluruh negara menerusi konsep bina dan jual dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Projek rumah mampu milik pertama seumpamanya yang pernah dilaksanakan di Malaysia itu, dibangunkan secara usaha sama antara INB dan Koperasi Pekebun Kecil (KPK) dengan sokongan Risda.

Skim perumahan bina dulu, baru jual itu bertujuan memberikan kemudahan kepada ahli KPK untuk memiliki kediaman lebih selesa serta moden, tanpa bimbang mengenai kemungkinan projek perumahan mereka terbengkalai.

Sehingga kini ada lebih 183,000 ahli KPK di seluruh negara, dengan Kelantan, Pahang, Terengganu, Kedah dan Johor mempunyai paling ramai ahli. Berdasarkan kajian INB, 65 peratus pekebun kecil belum memiliki rumah yang selesa.

Rumah banglo mampu milik dijual pada harga antara RM40,000 hingga RM48,000 seunit, tetapi pembeli hanya membayar yuran pendaftaran 50 sen, tanpa yuran guaman dan hanya membayar ansuran selepas menerima kunci rumah.

Pengarah Urusan INB, Azli Mohamad, berkata projek perumahan pertama mengikut konsep mudah milik itu sedang dibina di daerah Maran, Pahang.

Menerusi kerjasama dengan KPK Maran yang mempunyai kira-kira 5,600 ahli, INB mensasarkan antara 20 hingga 30 peratus daripada mereka layak membeli rumah berkenaan. Dalam tempoh tiga bulan selepas dilancarkan, 200 ahli KPK Maran sudah memohon.

“Projek di Maran akan mengorak langkah untuk kami berkembang secara berperingkat ke pelbagai daerah lain di seluruh negara,” katanya dalam pertemuan dengan Berita Harian di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, syarikat akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa lagi KPK daerah di Pahang termasuk Pekan, Kuala Lipis dan Bentong yang akan diikuti dengan pembinaan rumah mulai akhir bulan ini.

“INB juga akan memeterai MoU dengan Gabungan KPK Perak yang mewakili 13 daerah di negeri itu untuk melaksanakan projek yang sama,” katanya.

Menerusi projek perumahan inovatif itu, ahli KPK akan mencagarkan tanah bernilai sekurang-kurangnya RM10,000 seekar (0.4 hektar) sebagai sandaran untuk mendapatkan pinjaman membeli rumah yang akan dibina INB dalam tanah mereka.

Secara purata pekebun kecil akan membayar sekitar RM300 sebulan selama 30 tahun.

Azli berkata, syarikat menawarkan dua rekaan banglo iaitu Sri Idaman dengan keluasan 1,000 kaki persegi dan Sri Impian, 800 kaki persegi.

Bagaimanapun katanya, syarikat itu sedia mempertimbangkan rekaan lain yang dikehendaki pembeli dengan kos tambahan.

“Meskipun, margin keuntungan kami kecil daripada pembinaan sebegini, kami memikirkan jangka panjang serta komitmen untuk membantu masyarakat luar bandar memiliki kediaman selesa dengan lebih mudah.

“Mereka (pekebun kecil) berkemampuan membayar ansuran pinjaman, cuma kurang berminat membeli rumah di taman perumahan berkelompok kerana mahu rumah berada dalam tanah tempat mereka mencari makan,” katanya.

Mengenai strategi masa depan, beliau berkata, INB akan turut membina rumah mampu milik berharga kurang RM30,000 seunit bagi memberi lebih peluang kepada penduduk luar bandar memiliki rumah yang selesa.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.