Bila rumah nak siap?
05/04/2006 Kosmo
KLANG - Projek perumahan terbengkalai bertahun-tahun bukan perkara baru
kerana sehingga hari ini kita masih disogokkan dengan isu yang sama.
Namun ini tidak bermakna media terutama KOSMO! terus berdiam diri sahaja.
KOSMO! kali ini sekali lagi mengesan satu projek pembangunan terbengkalai di
Taman Sri Kerayong, Jalan Bukit Kerayong di sini yang dipercayai terbiar
agak lama.
Selain itu, terdapat tompokan air yang bertakung sehingga menjadi tempat
pembiakan nyamuk.
Tinjauan ke tempat tersebut mendapati, tiada sebarang usaha yang dilakukan
oleh pemaju bagi menyiapkan projek itu.
Difahamkan, projek tersebut sebelum ini dikendalikan oleh pihak Syarikat
Perumahan Negara Berhad dan sepatutnya siap pada 1996.
Tetapi sehingga kini projek tersebut didapati terbengkalai walaupun ia masih
lagi di peringkat awal pembinaan berdasarkan keadaannya yang tidak
berdinding dan hanya berbumbungkan langit.
Beberapa orang penduduk yang tinggal bersebelahan di kawasan itu turut
melahirkan rasa bimbang dan meminta supaya pihak yang berkenaan menyiapkan
projek tersebut dengan segera.
Seorang penduduk, Norlaila Mokhtar, 38, berkata, projek terbengkalai itu
merupakan rumah kedai yang dibina serentak dengan projek rumah teres yang
didiami penduduk bersebelahan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, projek rumah teres itu telah siap terlebih dahulu dan
pembelinya juga telah mendiaminya sejak beberapa tahun lepas.
"Projek yang terbengkalai itu sememangnya menyakitkan mata memandang kerana
keadaannya betul-betul berada di dalam kawasan penduduk di situ," jelasnya.
Mohd. Ani Mahmud, 38, pula memberitahu, kawasan tersebut kini menjadi tempat
melepak penagih dadah dan muda-mudi melakukan maksiat pada waktu malam.
Kegiatan itu berlaku ekoran kawasan yang terbengkalai itu gelap pada waktu
malam hingga menjadi sasaran tempat mereka melakukan aktiviti yang tidak
bermoral.
"Dulu kawasan tersebut dikelilingi pagar zink dan mereka boleh melakukan
perbuatan terkutuk tanpa dilihat sesiapa, tetapi kini walaupun pagar
dikelilingnya sudah tiada mereka masih lagi berani melakukannya," ujarnya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Falimatu Zora Mariani @ Abdul Majid
memberitahu, dia pernah melihat wakil syarikat pemaju beberapa kali
mengambil gambar dan meninjau kawasan tersebut.
Tetapi, hingga sekarang, katanya, tiada sebarang tindakan yang diambil dan
keadaan bangunan itu masih nampak rangkanya sahaja.
"Entah bila projek yang terbengkalai itu akan siap dan boleh digunakan oleh
pembelinya," katanya. |