50 pembeli rumah flat tertekan
13/04/2006 KOSMO
KUALA LUMPUR - Sudah jatuh ditimpa tangga.
Demikian rintihan 50 orang pembeli rumah pangsa Danau Kota, Jalan Genting
Klang, Setapak di sini yang bukan sahaja 'menderita' kerana rumah yang
diidamkan tertangguh, malah pemaju baru yang mengambil alih turut meminta
kos tambahan.
Wakil pembeli rumah pangsa berkenaan, Chow Guan Hoon memberitahu, pemaju
perumahan yang baru itu telah menafikan perjanjian jual beli yang
dipersetujui oleh mereka dengan pemaju asal.
Menurutnya, pemaju asal telah diisytiharkan muflis ekoran kegawatan ekonomi
pada 1997 menyebabkan proses pembinaan perumahan itu tergendala selama enam
tahun.
"Kini setelah ia diambil alih oleh pemaju baru yang dipercayai pemaju yang
sama tetapi hanya menukar nama syarikat, segala perjanjian awal jual beli
hendak diubah.
"Pemaju tersebut bercadang menaikkan harga rumah yang sebelum ini RM25,000
kepada RM33,000 dan menukar syarat pembelian tanpa mengemukakan dokumen baru
kepada pembeli yang telah membayar 10 peratus deposit pembayaran sejak enam
tahun lalu" kata Guan Hoon.
Sebelum itu, terdapat 489 buah unit rumah yang dijual kepada orang ramai dan
daripada jumlah itu, ia telah berpecah kepada tiga kumpulan.
Menurut Guan Hoon, seramai 400 pembeli telah menerima tawaran kenaikan harga
itu, tetapi 89 lagi enggan dengan 39 daripada mereka membawa perkara
tersebut ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Tuntutan yang berlaku awal tahun lalu telah berjaya dalam tuntutan mendapat
lain harga RM25,000 pada harga asal tanpa membuat bayaran tambahan sebanyak
RM8,000.
"Amat menyedihkan terdapat 50 orang pembeli lain yang gelisah dan takut
untuk membuat tuntutan disebabkan mereka merupakan pekerja pemaju tersebut
yang sepatutnya memperoleh banyak kelebihan," katanya.
Justeru, Guan Hoon menyarankan supaya kerajaan membantu 50 pembeli rumah
yang ada untuk mendapatkan hak mereka dengan mengekalkan harga rumah seperti
dalam perjanjian awal.
"Sebelum ini, seramai 39 orang telah berjaya dalam tuntutan mereka untuk
mengguna pakai harga lama seperti dalam perjanjian awal yang ditetapkan.
"Oleh itu, dengan bantuan yang ada, kami seramai 50 orang pembeli rumah yang
tertekan dan berada dalam dilema mahu hak kami diperjuangkan," ujarnya.
|