Tunggu rumah lama tak
siap-siap
Kosmo 2/3/2006
PETALING JAYA - Harapan kira-kira 3,000 pembeli bagi memiliki kediaman
impian di Bandar Alam Perdana, Sungai Buloh dekat sini yang terbengkalai
empat tahun lalu, masih menjadi tanda tanya.
Sejak 2002, kebanyakan mereka sudah puas, turut naik pejabat pemaju dan
wakil rakyat tetapi masih belum dapat diselesaikan.
Harapan demi harapan diberi, tetapi rumah mereka masih belum menjadi realiti,
malah pemaju lama pun sudah bertukar ganti.
Rata-rata pembeli ketika ditemui KOSMO! melahirkan kekecewaan ekoran sikap
pemaju yang didakwa lepas tangan dan berdolak-dalik dalam menyiapkan projek
tersebut dalam tempoh yang dijanjikan.
Wakil Persatuan Pembeli di Bandar Alam Perdana itu P. Kanesan berkata,
projek tersebut terbengkalai gara-gara pemaju yang mengalami masalah
kewangan dan kerja-kerja pembinaan telah diberhentikan.
Menurut seorang pembeli, Won Yeng Kiong, projek perumahan tersebut
sepatutnya siap penghujung 2002, tetapi ia terbengkalai di tengah jalan
ketika kebanyakan pembeli sudah merancang dan bersiap sedia masuk ke rumah
baru.
"Kami tidak menyangka pihak pemaju hanya menabur janji manis sebelum kami
membeli rumah di situ," katanya.
Wan Normi Hasan pula berkata, tapak projek itu semak-samun ditumbuhi lalang
kerana telah lama terbiar. Beberapa buah rumah pula dikesan sudah mula retak
strukturnya.
Sementara itu, Syarikat Prima Utilies Berhad, pemilik tanah projek perumahan
terbabit kali ini mengeluarkan pelan tindakan baru bagi menyelamatkan
projek tersebut dan berhasrat menyiapkan saki-baki rumah yang masih belum
disiapkan.
Pengerusi eksekutifnya, Datuk Nik Ezar Nik Bolia, berkata, anak syarikatnya,
LBCN Sdn. Bhd. bersetuju mengambil alih sebagai pemaju projek tersebut dan
berjanji akan menyiapkannya menjelang Jun tahun depan.
Namun, kata beliau, pihaknya memerlukan pembeli menandatangani surat
persetujuan yang membolehkan projek itu diteruskan.
"Kita memerlukan 90 peratus pembeli menandatangani surat tersebut. Setakat
ini kita hanya memperoleh lebih 60 peratus pembeli sahaja," jelasnya.
Justeru itu, beliau menyeru semua pembeli agar tampil untuk menandatangani.
Surat perjanjian itu supaya kerja-kerja pembinaan menyiapkan projek tersebut
boleh dilaksanakan dengan segera. |