Tekad duduk rumah walau tanpa
CF
Kosmo 22/3/2006
KUALA LUMPUR - Ekoran kesempitan hidup, sebanyak 150 keluarga yang terdiri
daripada bekas penduduk setinggan Kampung Pinggir, Lembah Jaya Selatan
bertindak nekad untuk tetap mendiami rumah kos rendah yang dibeli walaupun
kediaman itu belum memiliki sijil layak menduduki (CF).
Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas dan tidak mempunyai
pendapatan tetap terpaksa mengambil keputusan demikian kerana pemberian
elaun pemindahan sebanyak RM400 daripada pemaju telah dihentikan sejak
Disember.
Tinjauan KOSMO! di kawasan tersebut mendapati, Flat Taman Industri Ringan,
Lembah Jaya Selatan, Ampang yang mempunyai 550 unit itu mula dipenuhi
penghuninya walaupun CF untuk kediaman itu dijangka dikeluarkan pada Jun ini.
Kebanyakan penghuni itu sudah berumur dan mereka dikatakan sudah tidak mampu
untuk menyewa rumah lain yang rata-rata sekitar RM500 hingga RM550.
Menurut seorang penghuni, Mesari @ Mesuai Bidi, 60, dia mendiami rumah itu
sejak Januari lalu setelah pemaju memanggilnya untuk mengambil kunci rumah.
"Mak cik ragu-ragu juga hendak tinggal di rumah yang tidak ada CF, tapi apa
nak buat, mak cik tiada pilihan," katanya.
Tambahnya lagi, pemaju seolah-olah memandang ringan isu CF apabila menyuruh
pembeli memasuki rumah sebelum Februari lalu sedangkan jaminan CF hanya akan
dikeluarkan Jun ini.
Bagaimanapun, dia yang tinggal di situ bersama keluarganya mengadu rumah itu
dibina secara 'cincai' keranahanya mengutamakan keuntungan tanpa memikirkan
keselamatan dan kepuasan pelanggan.
Sementara itu, seorang penghuni lain yang ditemui, Salsabil Kamaruzaman, 27,
kesal dengan sikap pemaju yang 'lepas tangan' terhadap nasib penghuni di
situ.
"Keadaan rumah serba baru, tetapi baru dua bulan didiami, sudah banyak yang
rosak. Kami tahulah rumah belum ada CF tetapi keadaan rumah amat kurang
memuaskan," katanya.
KOSMO! difahamkan pemaju hanya akan mengambil tindakan terhadap aduan yang
diterima selepas tiga bulan tinggal di situ, tetapi selepas banyak aduan
dibuat, tiada pula tindakan yang diambil. |