SPNB baik pulih Taman Pelangi
Berita Harian 31/3/2006
SEREMBAN: Penantian 400 pembeli rumah Taman Pelangi, Sikamat dekat
sini sejak 14 tahun lalu dijangka berakhir apabila projek perumahan
terbengkalai itu akan dibaik pulih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Woo Ah
Lek, berkata tiga projek itu ialah Taman Pelangi yang akan dibaik pulih
tahun ini selain Taman Senawang Jaya Fasa Satu C dan Taman Kerisi
Mambau yang terbengkalai antara lima hingga 10 tahun lalu.
"Projek perumahan Taman Pelangi itu yang hanya siap kira-kira 50 peratus
menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pembeli hingga menyebabkan
kerajaan campur tangan.
"Kerajaan negeri menerusi Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan (UPKT) sudah
berbincang dengan SPNB dan persetujuan sudah dicapai untuk memulihkan projek
itu selewat-lewatnya pertengahan tahun ini," katanya di sini, semalam.
Woo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senawang, berkata kerajaan
negeri berusaha untuk memulihkan semua kira-kira 40 projek perumahan
terbengkalai yang terdapat di negeri ini.
Beliau berkata, usaha sedang dibuat dengan SPNB untuk memulihkan projek
terbabit secara berperingkat kerana ia memerlukan maklumat lengkap terutama
senarai nama pembeli.
Mengenai sebahagian rumah di Taman Senawang Indah, dekat sini, yang
tidak memiliki Sijil Layak Menduduki (CF) walaupun sudah diduduki lebih 20
tahun, beliau berkata, masalah itu berpunca daripada pelan yang tidak
diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"PBT tidak boleh mengeluarkan CF selagi masalah pelan tidak diselesaikan
penduduk kerana CF tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya jika tidak
memenuhi syarat ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Adun Sikamat, Datuk Mohd Yusof Harmain Shah, berkata pihaknya
menyambut baik usaha kerajaan dan SPNB untuk membaik pulih projek perumahan
Taman Pelangi.
Beliau berkata, pembeli sudah terlalu lama menunggu untuk menduduki rumah
berkenaan. |