Siapkan segera rumah kami
11/03/2006 Kosmo
SEREMBAN - Sampai bila mahu tunggu! Begitulah rintihan ratusan pembeli rumah
di Taman Kerisi, Mambau di sini yang mendakwa rumah impian mereka sudah
terbengkalai hampir tiga tahun lalu.
Lebih malang, pemaju asal projek itu kini tidak lagi beroperasi dan telah
berpindah ke lokasi yang tidak diketahui sedangkan pembeli terus dibiarkan
terpinga-pinga tanpa sebarang pembelaan.
Mereka merungut kerana terpaksa menanggung pinjaman bank setiap bulan.
Projek perumahan tersebut dikatakan mula dibina pada 1999, sebelum terhenti
pada Oktober 2002 tanpa notis daripada pemaju.
Projek yang merangkumi tiga rasa itu merangkumi pembinaan rumah kos
sederhana dan rumah kos rendah berharga di antara RM40,000 sehingga RM80,000
dan ada di antaranya sudah mencapai tahap 90 peratus siap.
Ekoran masalah itu, kebanyakan pembeli yang terdiri daripada golongan
berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa tinggal di kuarters milik
kerajaan atau menyewa rumah lain.
Tinjauan KOSMO! mendapati, keadaan perumahan tersebut menyedihkan dengan
semak-samun semakin tinggi.
Selain itu, kebanyakan rumah mengalami kerosakan infrastruktur selain
peralatan seperti cermin tingkap, kabel elektrik, pintu gelongsor kaca,
pagar dan besi penutup saluran kumbahan dicuri.
Pembeli mendakwa, mereka pernah mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Chan Khee Voon pada 23 Julai tahun
lalu dan telah dimaklumkan bahawa ada kontraktor baru iaitu Perkasa Imeg Sdn.
Bhd. yang dilantik menyambung semula projek.
Namun mereka diminta membayar wang tambahan sebanyak RM7,000 bagi rumah kos
sederhana dan RM4,850 untuk rumah kos rendah bagi menampung kerja-kerja
pembinaan seterusnya.
Akibatnya, 70 peratus daripada pembeli menolak cadangan tersebut kerana
tidak berpuas hati dengan bayaran yang diminta itu sehinggalah projek
perumahan itu kekal dalam semak sehingga kini. |