Rumah terbiar biak semak
23/03/2006 Berita Harian
GOMBAK: Selama lebih 10 tahun, penduduk Taman Seri Gombak di sini terpaksa
memendam perasaan melihat deretan rumah terbiar di kawasan perumahan mereka
bertukar menjadi tempat semak samun membiak sehingga menyakitkan mata
memandang.
Penduduk mendakwa sehingga hari ini permintaan mereka agar Majlis
Perbandaran Selayang (MPS) mengesan dan mengambil tindakan terhadap beberapa
pemilik rumah terbiar di kawasan ini belum menunjukkan usaha positif.
Kehidupan penduduk menjadi lebih tidak tenteram apabila rumah terbiar dan
dipenuhi belukar kerana ditinggalkan bertahun-tahun lamanya sehingga
menjejaskan dan merosakkan rumah bersebelahan.
Malah, mereka bimbang keadaan semak samun itu akan mendatangkan bahaya
kepada jiran berhampiran kerana kemungkinan dihuni haiwan berbisa dan
serangga.
Sehubungan itu, penduduk meminta MPS mengambil tindakan segera terhadap
pemilik rumah yang gagal dikesan sekian lamanya bagi mengelakkan rumah itu
dijadikan sarang pembiakan nyamuk dan penagihan dadah.
Suri rumah, K Traemah, 39, berkata beliau mula menetap di kawasan itu pada
1996 dan rumahnya mengalami banyak kerosakan disebabkan rumah usang di
sebelahnya.
Beliau berkata, antara kerosakan teruk yang dialaminya termasuk dinding di
ruang tamu berkulat, pendawaian elektrik tidak boleh digunakan, dinding
serta lantai jubin menjadi retak.
Traemah berkata, aduan tuntutan ganti rugi bernilai RM4,400 sudah
dikemukakan kepada MPS pada Jun 2004 bagi tujuan membaik pulih rumahnya.
Bagaimanapun, katanya sehingga sekarang beliau masih belum menerima sebarang
jawapan atau maklum balas MPS berhubung masalah itu. |