Rumah sudah retak menunggu belah
Kosmo 14/3/2006
KLANG - "Kami tidak puas hati, pemaju macam nak permainkan kami". Demikian
luahan rasa penduduk kawasan perumahan Bandar Puteri, di sini apabila
keretakan pada rumah yang diami sejak dua tahun lalu semakin melebar.
Penduduk yang berasa kecewa dengan sikap pemaju yang sering memberikan
pelbagai alasan meminta pihak berkuasa campur tangan bagi menyelesaikan
masalah itu.
Tinjauan KOSMO! semalam berdasarkan aduan khidmat pesanan ringkas (SMS)
mendapati, masalah tanah mendap menyebabkan banyak rumah didapati retak.
Seorang penduduk, Imran Shazwan, 36, berkata, penduduk pernah mengadukan
perkara itu kepada pihak pemaju serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan supaya kerosakan itu dibaiki, namun tiada tindakan diambil.
"Kami sudah tidak tahu lagi pada siapa mahu mengadu," katanya.
Seorang pekerja swasta, Foo Mun Heng, 40, berasa teraniaya kerana pemaju
seakan membiarkan sahaja masalah itu.
Ramalu Apalasamy, 52, pula berkata, dia sudah berasa tidak berbaloi membeli
rumah berharga RM140,000 dan kini semakin retak.
"Sudahlah kami terpaksa membayar ansuran bulanan kepada bank, hidup dalam
rumah pun tidak selesa," ujarnya.
Sementara itu, jirannya, Raju Rengajoo, 51, berharap ada pihak yang akan
tampil membantu menyelesaikan masalah mereka.
"Kerajaan perlu campur tangan kerana ia melibatkan kepentingan dan hak lebih
1,000 penduduk," jelasnya. |