Projek 'belukar' menyakitkan
mata
Kosmo 6/3/2006
SEREMBAN - Ketika memandu di Jalan Sungai Ujong untuk ke Lebuh Raya
Utara-Selatan, pasti pemandangan anda terganggu dengan bangunan terbengkalai
yang terletak di kiri jalan berkenaan.
Tinjauan KOSMO! ke kawasan tersebut mendapati projek yang terbengkalai sejak
sembilan tahun lalu itu sudah 80 peratus siap.
Keadaan persekitarannya yang semak, mungkin boleh mengundang masalah lain
seperti tumpuan penagih dadah atau reptilia berbisa seperti ular.
Seorang penduduk berdekatan, Saiful Azli, 25, berkata, projek terbengkalai
itu juga dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk.
"Ini berikutan keadaan projek yang sudah dilitupi dengan semak-samun
sehingga kelihatan macam belukar," katanya.
Seorang pelanggan restoran di Dataran Kemayan yang terletak berhampiran
bangunan terbengkalai itu, Abdul Razak Ahmad, 35, berkata, pagar tapak
projek yang berlubang turut memudahkan orang luar memasuki kawasan tersebut.
"Memang senang sangat untuk tempat itu dijadikan 'port' penagih dadah.
"Bukan itu sahaja, ia juga berkemungkinan boleh menggalakkan aktiviti tidak
bermoral," ujarnya.
Sementara itu, A. Ganeson, 40, berharap pihak berkuasa mengambil tindakan
segera kerana projek itu telah lama terbengkalai dan mencacatkan pemandangan.
Paling membimbangkan, ia seakan 'penyambut tetamu' bagi pengunjung yang
ingin ke bandar Seremban melalui Tol Labu. |