This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli Alam Perdana diminta hubungi LBCN
Berita Harian 3/3/2006

PETALING JAYA: Pembeli unit kediaman Alam Perdana, Sungai Buloh dekat sini diminta menghubungi kontraktor yang baru dilantik, LBCN Development Sdn Bhd bagi membolehkan kerja pembinaan yang terbengkalai diteruskan.

Mengikut syarat, kontraktor terbabit bersetuju menyambung kembali projek yang terhenti dengan syarat 90 peratus pembeli bersetuju.

Pengarah Urusan Prime Utilities Berhad, Datuk Nik Ezar Nik Bolia, berkata pada masa ini, 60 peratus daripada 3,819 pembeli sudah menandatangani surat membenarkan pihaknya meneruskan pembinaan.

“Kita mengharapkan sekurang-kurangnya 20 peratus lagi pembeli tampil menandatangani surat berkenaan sebelum meneruskan pembinaan kediaman mereka yang terbengkalai.

“Bagaimanapun, kita menghadapi kesukaran mengesan sebahagian lagi pembeli kerana sudah berpindah alamat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 3,819 unit, termasuk 2,500 rumah pangsa kos rendah dan 1,319 teres dua tingkat yang dijadualkan siap pada 2002 terbengkalai.

“Pembeli menandatangani perjanjian pada 2000 dan mengikut jadual projek disiapkan dalam tempoh dua tahun untuk teres dua tingkat dan tiga tahun rumah pangsa kos rendah,” katanya.

Nik Ezar berkata, pihaknya akan meneruskan projek itu sebaik semua pembeli dapat dihubungi dengan memberi keutamaan rumah teres dua tingkat kerana pembinaannya sudah mencapai 80 peratus.

Katanya, pada masa ini kediaman teres dua tingkat jenis Arcadia hampir 80 peratus siap, Verona (80 peratus), Endora (65-80 peratus), Korinna (80 peratus) dan Lucida (65 peratus).

“Untuk rumah kos rendah, blok satu hingga enam bagi parcel enam sudah disiapkan 65 peratus, parcel 5 blok tujuh hingga 15 (20 peratus) dan parcel tujuh blok 16 hingga 25 antara 25 hingga 55 peratus siap.

Sementara itu, pembeli, Wan Normi Wan Hasan berkata, beliau membeli rumah teres dua tingkat jenis Endora pada 2001 yang ketika itu hampir 90 peratus siap.

“Mengikut perjanjian, unit ini dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan selepas menandatangani perjanjian itu juga harapan saya dan pembeli lain.

“Malangnya, harapan menduduki rumah baru selepas berkecai apabila ia terbengkalai kerana kegagalan pemaju menyiapkannya mengikut jadual,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai Pengarang di sebuah syarikat penerbitan di Shah Alam berkata, kebanyakan pembeli terdiri daripada mereka yang terbabit dalam syarikat penerbitan di ibu kota.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.