Pemaju diarah henti projek
11/03/2006
Harian Metro
KUALA LUMPUR: Pemaju projek kediaman diminta menghentikan operasi
serta-merta selepas seorang penyelianya maut apabila terjatuh dari aras lima
sebuah bangunan yang dalam pembinaan di Jalan Ampang, di sini, kelmarin.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, berkata kementeriannya
sudah mengeluarkan notis pemberhentian kerja berkuat kuasa serta-merta bagi
mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurutnya, pemaju sudah diarah mengemukakan laporan lengkap kepada
kementerian itu sebelum keputusan sama ada mereka boleh meneruskan projek.
"Kementerian mengarahkan pemaju dari Jepun supaya menghentikan operasi serta
merta sehingga kami berpuas hati dengan laporan kejadian yang dikemukakannya.
"Siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk mengenal pasti aspek
keselamatan di tapak pembinaan ini," katanya pada sidang media selepas
mengadakan lawatan ke tempat kejadian, di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),
Abu Bakar Che Man dan Pengarah JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Omar
Mat Piah.
Khamis lalu, seorang penyelia yang dikenali sebagai Lee Kim Hai, 47, dari
Selangor maut selepas terjatuh dari aras lima ketika sedang melakukan
pemeriksaan kira-kira jam 10.35 pagi.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan berseorangan kerana pekerja lain sedang
berhenti rehat untuk menikmati sarapan pagi.
Pemaju projek itu sedang menyiapkan dua blok pangsapuri sepuluh tingkat dan
satu blok pangsapuri tiga tingkat milik Great Eastern di Jalan Ampang.
Sementara itu, Dr Fong berkata, kementeriannya akan memastikan pemeriksaan
berterusan dari segi aspek keselamatan di kawasan pembinaan walaupun
syarikat yang terbabit dikategorikan sebagai kelas A.
"Pemaju projek pembinaan diminta mematuhi aspek keselamatan serta sentiasa
memastikan pelantar yang selamat, kekunci tali pengikat keselamatan, jaring,
perancah (besi penghadang) dan sebagainya.
"Jangan ambil mudah soal keselamatan kerana kemalangan pasti berlaku
sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Majikan perlu
melaksanakan pengurusan keselamatan dan kesihatan di tapak kerja dengan
lebih teliti serta teratur," katanya.
Beliau berkata, ada kalanya kemalangan di tempat kerja berlaku kerana
kecuaian membiarkan skru bersepah ketika pekerja berehat atau jentera
ditinggalkan tanpa pengawasan.
"Sehubungan itu, JKKP akan memperkenalkan peraturan baru yang memerlukan
majikan mengurus keselamatan dan kesihatan tapak kerja secara sistematik,"
katanya. |