Pangsapuri baru dimamah
anai-anai
Kosmo 23/03/2006
BALAKONG - Pangsapuri baru dihuni kurang daripada tiga tahun, tetapi sudah
menjadi sarang anai-anai.
Begitulah masalah yang dialami beberapa penghuni Pangsapuri Juara Suria di
Taman Jalan Belimbing dekat sini.
Tinjauan KOSMO! di pangsapuri itu hasil aduan menerusi khidmat pesanan
ringkas (SMS) mendapati bahagian rumah yang berkayu nampak kukuh, tetapi
apabila disentuh ia sudah reput.
Pengerusi Persatuan Penduduk pangsapuri berkenaan, Halim Yatim Md. Nor
berkata, pemaju sepatutnya memandang serius masalah itu kerana ia akan
bertambah serius jika tidak diatasi.
Dia mendakwa sudah berbuih mulut mengadu tetapi tiada tindakan sehingga
masalah sudah menular.
Seorang penghuni, Norhayati Ibrahim, 31, keadaan itu sudah berlarutan sejak
dua tahun lalu.
"Sebelum ini, habis lantai pake dan siling rumah rosak dimakan anai-anai,"
katanya.
Dia memberitahu, kebanyakan penghuni, terutama di tingkat sembilan mengalami
masalah yang sama dan sudah beberapa kali perkara tersebut diadukan kepada
pemaju, Pembinaan AHT Sdn. Bhd. namun sehingga kini masalah tidak selesai.
"Enam bulan lepas, pemaju ada menyembur racun anai-anai dan memberi jaminan
akan menggantikan bingkai-bingkai tingkap dan pintu yang sudah reput, tetapi
sampai sekarang tidak ada tindakan," katanya.
Malah, akibat serangan anai-anai, ada penghuni terpaksa menghabiskan banyak
wang untuk menggantikan lantai kayu, siling serta pintu dan tingkap.
"Bila kami tidur, kami boleh dengar bunyi anai-anai makan kayu," katanya.
|