Lagi-lagi rumah terbengkalai
03/08/2006
Kosmo
AMPANG – Isu projek perumahan terbengkalai yang sering berlaku di kabanyakan
tempat bagaikan tidak habis-habis.
Ia seolah-olah menjadi perkara biasa yang dianggap remeh sesetengah pihak
yang sepatutnya bertindak segera melakukan sesuatu daripada menjadi projek
‘gajah putih’ yang terabai.
Setiap kali berlaku perkara seperti itu, anda pasti terfikir tentang
pembaziran yang berlaku setelah pelaburan awal dikeluarkan untuk
melaksanakan projek tersebut.
Berdasarkan maklumat melalui Khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMS), KOSMO!
mengenal pasti satu kawasan projek perumahan di Taman Seri Bayu, Ampang,
yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu.
Tinjauan KOSMO! mendapati, kawasan projek perumahan itu sememangnya telah
ditinggal lama berdasarkan kawasan sekitarnya yang bersemak dengan ditumbuhi
lalang yang meninggi.
Kawasan projek terbabit yang telah didirikan dua blok bangunan yang
sememangnya tidak sempurna dengan hanya kelihatan rangkanya sahaja
membuktikan ia terbiar sejak sekian lama dan tidak dipeduli.
Tatkala kerajaan kini giat untuk membangunkan projek perumahan rakyat, masih
ada lagi projek-projek terbengkalai yang seakan dibiarkan terus tanpa ada
usaha membangunkannya semula.
Perkara seperti itu tidak sewajarnya berlaku kerana ia menampakkan kelemahan
sistem pengurusan yang tidak efektif hingga mengabaikan sesuatu projek yang
telah menelan banyak belanja sebelum memulakannya.
Seorang penduduk, Izza Rosli, 28, berkata, kawasan projek perumahan itu
sememangnya telah lama terbengkalai.
Sejak tinggal di kawasan itu 10 tahun lalu hingga ke hari ini belum ada
pihak yang mengambil alih untuk meneruskannya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rushdi Hamid, 30, pula memberitahu,
kawasan perumahan yang bersemak dengan lalang yang meninggi itu boleh
menjadi sarang dan tempat tinggal binatang berbisa.
"Rumah saya pernah dimasuki ular tedung beberapa bulan lalu, nasib baik
binatang itu tidak mematuk anak saya yang berusia lima tahun," ujarnya. |