Keretakan Pangsapuri Seri
Nilam diperbaiki
Berita Harian 7/3/2006
AMPANG JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama pemaju,
Putra Engineer akan mengatasi dan membaiki keretakan di bahagian rasuk dan
dinding bangunan blok C dan D, Pangsapuri Seri Nilam, di sini yang sudah
berlarutan sejak dua tahun lalu.
Pengarah Jabatan Bangunan Seni Bina MPAJ, Yazid Sarkom, berkata pihaknya
sudah mengarahkan pemaju mengemukakan laporan berhubung struktur bangunan
selewat-lewatnya minggu depan dan akan meneliti laporan untuk tindakan
lanjut.
Beliau berkata, penduduk pangsapuri berkenaan khususnya di blok C dan D
tidak perlu bimbang kerana kajian awal dilakukan mendapati struktur bangunan
masih stabil dan hanya mengalami keretakan luaran.
“Penduduk tidak perlu panik kerana pangsapuri ini masih selamat untuk
didiami dan rekahan serta keretakan ini hanya membabitkan struktur luaran
dan tidak menjejaskan struktur dalaman.
“Walaupun ada air yang mengalir dan meleleh dari celah rekahan, ia tidak
menjejaskan struktur bangunan.
“Kita sudah mengarahkan pemaju menyediakan laporan lengkap mengenai keadaan
bangunan dan sebaik menerimanya kita akan meneliti untuk mengenalpasti
apakah tindakan dan langkah pembaikan yang perlu diambil,” katanya yang
ditemui ketika melawat bangunan blok C dan D, Pangsapuri Seri Nilam yang
mengalami keretakan, baru-baru ini.
Penduduk Pangsapuri Seri Nilam khususnya penghuni blok C dan D bimbang akan
keselamatan mereka berikutan keretakan serius sepanjang kira-kira 500 meter
pada dinding dan rasuk bangunan sehingga kelihatan air meleleh keluar
terutama ketika hujan lebat.
Ketua Pemuda Umno Kampung Tasik Campuran, Syed Kabeer Rifaiee Hamzah,
berkata penduduk sudah mengemukakan aduan kepada MPAJ dan pemaju sejak dua
tahun lalu, namun tiada sebarang maklum balas dari pihak berkenaan.
Beliau yang juga Bendahari Persatuan Penduduk Seri Nilam berkata, masalah
keretakan di pangsapuri itu tidak harus dipandang mudah oleh kedua pihak
terbabit kerana ia membabitkan nyawa lebih 748 keluarga yang mendiami
pangsapuri itu.
“Kita berterima kasih pada media kerana apabila berita mengenai keretakan
ini keluar di akhbar, barulah mereka tampil untuk menyelesaikan masalah ini,”
katanya.
Selain masalah keretakan bangunan, Syed Kabeer Rifaiee mendakwa 1,920
keluarga di enam blok Pangsapuri Seri Nilam setinggi 17 tingkat itu terpaksa
menghidu bau busuk setiap hari yang berpunca dari tempat pembuangan sampah
yang tidak terurus.
“Kapasiti tempat pembuangan sampah amat kecil dan tidak mampu menampung
jumlah sampah yang dibuang penduduk di sini. Pemaju perlu menyediakan tempat
membuang sampah yang lebih besar supaya sampah tidak bertaburan di luar tong
atau di tepi jalan.
“Kerja memungut sampah di sini juga ibarat satu perniagaan kerana kita
sering melihat ada pihak tertentu datang untuk mencari barangan yang boleh
dijual seperti tin dan botol menyebabkan sampah terkeluar dari plastik yang
dikoyakkan sehingga mengeluarkan bau busuk yang meloyakan.
“MPAJ dan pemaju perlu memberi perhatian kepada banyak lagi masalah lain
dihadapi penduduk pangsapuri ini termasuk kemudahan kecemasan seperti pili
bomba yang tidak diselenggara dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Yazid berkata, masalah lain yang dialami penduduk pangsapuri
itu termasuk isu sampah, kemudahan awam dan kawasan riadah akan dibincangkan
dalam sesi dialog antara Yang Dipertua MPAJ dan penduduk di situ. |