Enam perumahan DBKL dapat hak
milik strata
03/03/2006
Berita Harian Oleh Zuraidah Mohamed
KUALA LUMPUR: Hanya enam daripada 15 perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) sudah menerima hak milik strata, kata Datuk Bandar Kuala
Lumpur, Datuk Ruslin Hasan.
Enam kawasan terbabit ialah Sentul Fasa 3, Bandar Baru Sentul Fasa 8 dan 9, Sentul Utara Kos Rendah (Sri Pangkor), Putra Ria dan Desa Tasik.
Beliau berkata, hak milik strata belum diberikan kepada sembilan perumahan
awam DBKL kerana hak milik tanah masih berstatus sementara di samping
masalah teknikal berhubung penyediaan dan kelulusan pelan yang mengambil
masa.
Katanya, perumahan awam DBKL yang dibeli dan diduduki itu masih berstatus
strata sementara dan Sijil Layak Menduduki (CF) sementara.
“DBKL mengendalikan sebanyak 65,338 unit rumah di ibu kota, termasuk 13,070
membabitkan unit rumah jual.
“Penangguhan isu strata berlaku sejak beberapa tahun lalu menyebabkan ada
pembeli rumah yang tidak berpuas hati yang membelinya sejak lebih 10 tahun,”
katanya.
Kenyataan itu sebagai mengulas aduan pembeli pangsapuri Merak, Jalan Loke
Yew mengenai hak milik strata yang belum diperolehnya sejak membeli kediaman
yang berharga RM15,700 pada 1984.
Koh berkata, selain membayar cukai taksiran RM25.20 setiap enam bulan dan
cukai tanah RM48 setahun beliau turut mendakwa kemudahan awam seperti lif
diabaikan DBKL.
Ruslin berkata, dasar kerajaan menetapkan pangsapuri yang terletak di jalan
protokol dan reka bentuk bangunan yang tidak sesuai akan dibangunkan semula
seperti Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak.
“Penangguhan proses permohonan hak milik strata ini juga adalah kerana
perancangan jangka panjang bagi membangunkan semula perumahan yang mempunyai
kriteria berkenaan termasuk pangsapuri di Jalan Loke Yew,” katanya.
Pada masa sama, Ruslin turut mengingatkan warga kota supaya berfikiran lebih
terbuka serta tidak beremosi ketika meluahkan pandangan atau masalah
berhubung pengurusan dan perkhidmatan DBKL.
Beliau berkata, orang ramai perlu membuat penjelasan terperinci mengenai
aduan dikemukakan supaya tindakan susulan lebih mudah diambil jabatan
berkaitan. |