9 tahun menderita
04/03/2006 Kosmo
BATU PAHAT - Bayangkan bagaimana rasanya jika anda satu keluarga terpaksa
menduduki rumah yang telah dibeli, tetapi tidak mempunyai sijil layak
menduduki (CF), tanpa bekalan air, elektrik dan jiran?
Bagi seorang guru, Khairudin Abu Naim, 42 (gambar), dia terpaksa juga
mengambil risiko tersebut walaupun menyedari isteri dan tiga anaknya tidak
selesa.
"Saya tiada pilihan lain. Gaji buka besar sangat. Bayaran rumah sewa
sebanyak RM250 dan ansuran rumah ini pula RM440. Itu belum masuk
perbelanjaan lain.
"Sampai bila hendak bayar rumah sewa sedangkan rumah sudah dibeli. Pemaju
tahu tidak apa yang saya lalui?" katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dia adalah antara 200 pembeli rumah di Bandar Putera Indah yang hampir ke
semuanya menunggu selama sembilan tahun gara-gara projek rumah terbengkalai
itu.
Dari rumah fasa 1 berharga sekitar RM50,000 hingga rumah fasa 2 yang
berharga sekitar RM73,000 siap dibina, pembeli seakan-akan menanggung 'biawak
hidup' dan rayuan menyelesaikan masalah itu seperti tidak dipedulikan.
Malah, sistem lalu lintas dan jalan raya untuk memasuki ke kedua-dua fasa
perumahan itu tidak sempurna lagi.
Kata Khairuddin: "Setiap hari saya terpaksa membeli air untuk kegunaan
harian, malah semasa pindah dulu, kami guna generator dan lilin," ujarnya.
Dia juga pernah memohon sokongan daripada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP)
untuk menghantar permohonan kepada TNB bagi memasanng meter elektrik, tetapi
tiada jawapan.
Kini, dia terpaksa melakukan pendawaian haram dari meter Tenaga Nasional
Berhad (TNB) bagi bekalan elektrik di rumahnya.
Sementara itu, pembeli lain yang ditemui, Alinee Suhaiza Syed Alwee, 30,
yang membeli rumah di Fasa 2 iaitu di Jalan Putra Indah 1/1 berkata, dia
kecewa dengan apa yang dijanjikan oleh pemaju.
"Saya banyak kali buat susulan dengan pihak pemaju tapi sampai hari ini,
tiada apa-apa tindakan yang diambil. Saya bosan menunggu tapi sampai bila
nak diam," katanya. |