8 projek perumahan swasta
tidak siap
20/03/2006
Berita Harian
KUANTAN: Sebanyak lapan projek perumahan milik swasta bernilai kira-kira
RM198.47 juta di empat daerah di negeri ini terbengkalai dan ada antaranya
sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pusat Pertumbuhan negeri, Datuk Mohd
Soffi Abdul Razak, berkata lima daripada projek perumahan itu di Kuantan,
manakala tiga projek lagi di tiga daerah iaitu masing-masing satu di Bentong,
Maran dan Jerantut.
"Projek terbengkalai itu membabitkan 1,231 unit rumah di lima taman
perumahan di Kuantan, 673 unit di Bentong, 1,176 unit di Maran dan 260 unit
rumah di Jerantut menjadikan jumlahnya 3,340 unit rumah," katanya pada
sidang media selepas Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) 2006
Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Berjaya Megamall, di sini, baru-baru
ini.
Beliau berkata, semua projek perumahan terbengkalai yang sudah dikenal pasti
itu dijangka diambil alih Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk
memastikan ia disiapkan secepat mungkin.
"SPNB ialah syarikat pemaju sah yang dilantik Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan yang biasanya mengambil alih kebanyakan projek perumahan
tertangguh untuk disiapkan.
"Bagaimanapun, sebelum proses pengambilalihan dilakukan, SPNB akan melakukan
kajian dan pemantauan di lokasi projek pembangunan yang terbengkalai itu,"
katanya.
Katanya, SPNB sebelum ini pernah mengambil alih enam projek perumahan
terbengkalai dua tahun lalu dan kini kawasan pembangunan perumahan itu sudah
mendapat sijil layak menduduki (CF). |