61 projek perumahan di
Selangor terbengkalai
28/03/2006 Berita Harian
SHAH ALAM: Sebanyak 61 projek perumahan terbengkalai di Selangor, termasuk
23 yang terbengkalai lebih 10 tahun membabitkan kira-kira 18,000 pembeli,
tetapi belum ada tanda-tanda pemaju akan memulihkannya.
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Datin
Paduka Alinah Ahmad, berkata perumahan, projek terbengkalai turut
membabitkan 22 projek komersial, dua industri dan enam pembesaran kampung.
Beliau ditanya mengenai penderitaan pembeli rumah terbabit yang
sebahagiannya kini menghadapi tuntutan ansuran pinjaman daripada institusi
kewangan.
Sebagai contoh, dua pembeli rumah Port Villa di Klang menerima surat
tuntutan supaya menjelaskan tunggakan kira-kira RM53,759 pada 14 Februari
lalu, sedangkan mereka terpaksa membayar sewa rumah.
Alinah berkata, hanya kira-kira satu peratus struktur pembinaan kelihatan di
tapak projek yang kini dipenuhi semak-samun.
Beliau berkata, pemaju tidak memberikan alasan kukuh tidak meneruskan
pembinaan, walaupun ia tidak dikategorikan sebagai syarikat yang menghadapi
tindakan penggulungan.
Katanya, ada beberapa salah representasi yang dikesan pada projek itu
seperti mendakwa mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Alinah berkata, kerajaan negeri yang prihatin dengan masalah pembeli,
menggariskan beberapa kaedah sebagai ikhtiar membela nasib pembeli.
Ini termasuk membawa kes pemaju projek terbengkalai ke mahkamah, meminta
perlantikan penyelesai persendirian untuk mengambil alih projek bermasalah,
pemulihan projek terbengkalai oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan
mencari syarikat penyelamat untuk menyelamatkan projek.
Bagi kes yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah, LPHS menyediakan peguam
berwibawa bagi mewakili pembeli.
Katanya, projek terbengkalai melebihi 10 tahun adalah antara kes yang boleh
dibawa ke mahkamah kerana ia ‘seolah-olah’ tidak dapat diselamatkan.
Beliau juga menggesa SPNB supaya lebih aktif memulihkan semula projek
perumahan terbengkalai.
“Pembeli rumah ini sudah membayar bank. Kita minta SPNB lebih aktif
menyelamatkan projek ini agar mereka akhirnya dapat menduduki rumah yang
mereka beli,” katanya. |