20% lagi pembeli rumah Bandar
Alam Perdana diperlukan
2/3/2006 Harian Metro
PETALING JAYA: Pembeli rumah Bandar Alam Perdana, Kuala Selangor, dimintan
menandatangani surat perjanjian bagi membolehkan kontraktor baru dilantik
meneruskan projek perumahan yang terbengkalai sejak empat tahun lalu.
Ahli jawatankuasa penduduk taman berkenaan, Wan Normi Hasan, berkata pembeli
rumah diminta memberikan kerjasama bagi membantu mempercepatkan proses
pembinaan yang 20 hingga 80 peratus disiapkan.
Menurutnya, kontraktor baru yang dilantik tidak dapat menyambung kerja-kerja
pembinaan berikutan kegagalan mendapatkan tandatangan daripada pembeli
walaupun hebahan mengenainya sudah dibuat sebelum ini.
"Kontraktor memerlukan tandatangan pembeli sebagai bukti projek berkenaan
diteruskan dalam tempoh satu tahun. Setakat ini, kira-kira 60 peratus
pembeli sudah berbuat demikian.
"Kita sedang mengumpul kira-kira 20 peratus lagi pembeli supaya projek yang
tertangguh ini dapat diteruskan secepat mungkin," katanya selepas mengadakan
perbincangan dengan kontraktor baru, LBCN Development Sdn Bhd,di sini,
semalam.
Seorang pembeli, Kanesen Ponnusamy, berkata kegagalan pemaju menyiapkan
projek perumahan dalam tempoh ditetapkan menyebabkan pembeli terpaksa
menanggung hutang bank yang tinggi selain membayar sewa rumah.
"Kami berharap pelantikan kontraktor baru ini dapat menyelesaikan masalah
pembeli.
"Saya sekeluarga tidak sabar untuk mendiami rumah baru," katanya.
Akhbar pada 23 Jun tahun lalu menyiarkan rintihan kira-kira 2,000 pembeli
rumah di Bandar Alam Perdana berikutan syarikat pemaju projek itu gagal
menyiapkan kediaman mereka walaupun ia dijadualkan siap tiga tahun lalu.
Projek perumahan 2,300 unit yang mempunyai rumah pangsa kos rendah, rumah
teres dua tingkat, rumah kedai serta banglo itu bermula pada 2000 dan
sepatutnya siap pada Jun 2002.
Masalah tercetus apabila pemaju Vega Builders Sdn Bhd, yang menghadapi
masalah kekurangan tenaga buruh, gagal menyiapkan rumah pada tarikh dalam
perjanjian.
Vega Builders dan LBCN Development adalah anak syarikat Prime Utilities
Berhad.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Prime Utilities, Datuk Nik Ezar Nik Bolia,
berkata pihaknya akan cuba menyiapkan projek itu dalam tempoh setahun
setengah selepas menerima surat perjanjian yang ditandatangani pembeli
berkenaan.
"Buat masa sekarang kita menjalankan kerja penyambungan pembinaan daripada
pemaju lama membabitkan rumah teres dua tingkat sebelum meneruskan projek
bagi rumah kos rendah," katanya. |