150 pembeli rumah rayu
kerajaan campur tangan
Berita Harian 24/03/2006
PORT DICKSON: Seramai 150 pembeli projek perumahan Green View Resort Homes
di Mukim Pasir Panjang, dekat sini merayu kerajaan negeri campur tangan
membantu menyelesaikan masalah projek itu yang terbengkalai sejak hampir 10
tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan pembeli menghadapi masalah kewangan yang serius
kerana bukan saja terpaksa membayar ansuran bulanan untuk pinjaman perumahan
mereka, tetapi juga sewa rumah yang diduduki sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli taman perumahan itu, Kamaruddin
Jantan, berkata projek itu bermula pada 1997, tetapi dihentikan kira-kira
tiga tahun kemudian sebelum disambung semula.
"Projek berkenaan disambung semula selepas 2000, tetapi ia berjalan sedikit
demi sedikit sehingga 2002 sebelum terbengkalai sekali lagi sehingga kini,"
katanya.
Projek perumahan di Batu 11, Jalan Pantai itu mengandungi 19 unit rumah
kedai, masing-masing 110 unit rumah kos rendah dan rumah teres dua tingkat
serta 64 unit rumah teres setingkat.
Kamaruddin berkata, berikutan masalah itu, seramai 136 pembeli projek
perumahan berkenaan bertindak membuat laporan polis pada 18 Februari lalu
kerana kecewa dengan keadaan itu.
Katanya, masalah terbabit sudah beberapa kali dirujuk kepada syarikat pemaju
yang beribu pejabat di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, tetapi tiada sebarang
maklum balas diterima.
"Pembeli yang menanggung beban kerana sudah membuat pinjaman bank serta
terpaksa membayar ansuran bulanan dan pada masa sama tinggal di rumah sewa,"
katanya.
Beliau berkata, oleh kerana pemaju bersikap lepas tangan, 150 pembeli
mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah mereka yang dibeli pada harga
RM45,000 di taman itu walaupun belum diluluskan untuk diduduki.
Pembeli, Rashid Bantut, 47, berkata mereka kesal dengan sikap pemaju yang
gagal menyiapkan projek itu sehingga menyebabkan kawasan persekitaran
dipenuhi semak samun dan pokok selain banyak kerosakan pada struktur
bangunan.
"Selepas membeli rumah di sini pada 1997 lalu, saya membayar RM168 setiap
bulan kepada bank dan pada masa sama menyewa rumah. Jadi, kami amat berharap
kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan masalah ini," katanya. |