This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Syor penjara pemaju tak bertanggungjawab

Berita Harian 13/2/2006

KUALA LUMPUR: Akta Pemaju Perumahan (Pindaan) 2002 perlu dipinda bagi menjaga kepentingan pembeli rumah dengan mengenakan tindakan tegas, termasuk hukuman penjara ke atas pemaju yang gagal menepati syarat perjanjian jual beli rumah apabila Sijil Layak Menduduki (CF) tidak dapat dikeluarkan kepada pemilik rumah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata akta yang ada ketika ini tidak memperuntukkan tindakan yang sewajarnya ke atas pemaju yang gagal memenuhi syarat sehingga mengakibatkan pembeli teraniaya.

“Hukuman penjara enam bulan adalah satu cadangan yang dilihat boleh menyelesaikan masalah pemaju yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan tegas seperti ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pembeli rumah terjamin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Belia Prihatin, Belia Benci Dadah dan Jamuan Belia Bersama Rakyat anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini, semalam.

Dr Mohamad Khir yang juga Presiden MBM berkata, pemaju yang tidak bertanggungjawab itu didapati gagal menghantar borang CF kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), sebaliknya menyerahkan kunci rumah kepada pembeli walaupun ia tidak memenuhi syarat projek perumahan yang ditetapkan seperti menyediakan keperluan bekalan air, sistem perparitan lebih teratur dan kemudahan jalan.

Katanya, pembeli rumah akan menyalahkan PBT apabila CF yang sepatutnya diterima mereka tidak dapat dikeluarkan berpunca daripada kegagalan pemaju memenuhi syarat sesuatu projek perumahan yang ditetapkan.

“PBT adalah agensi kerajaan yang akan memastikan keselamatan dan kebaikan penduduk bagi satu kawasan perumahan di bawah kawalannya.

“Sekiranya CF itu dikeluarkan tanpa memastikan pemaju menyediakan kemudahan yang sepatutnya, pembeli akan berdepan dengan pelbagai masalah pada masa depan,” katanya sebagai mengulas masalah penduduk di Rinching, Semenyih dan Kundang, Sungai Buloh yang menyuarakan rasa tidak puas hati apabila PBT tidak mengeluarkan CF selepas pemaju projek perumahan di kawasan itu sudah menyerahkan kunci walaupun keperluan bekalan air belum disediakan sepenuhnya.

Dr Mohamad Khir berkata, masalah kelewatan pemberian CF tidak timbul kerana pusat sehenti yang mengendalikan urusan berhubung CF adalah di bawah pemantauannya sendiri.

Katanya, wakil rakyat dan Majlis Lembaga Perumahan Negeri Selangor disaran supaya membantu penduduk terbabit membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas pemaju yang gagal memenuhi syarat perjanjian dengan pembeli itu.

“Sekiranya pemaju mendakwa mereka menghadapi masalah kewangan dan tidak mengira kepentingan pembeli rumah, biar mahkamah tentukan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya akta PBT dipinda bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan dalam sistem pengurusan serta pentadbiran agensi kerajaan itu.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.