Rumah terbengkalai: Ke mana
hendak mengadu?
Utusan Malaysia 22/02/2006
SAYA terpanggil untuk menulis setelah membaca berita di dalam Utusan
Malaysia 13 Februari, 2006 mengenai Menteri Besar Selangor mencadangkan agar
Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipinda bagi membolehkan hukuman
penjara dikenakan ke atas pemaju yang gagal memenuhi syarat-syarat yang
ditetapkan dalam perjanjian jual beli.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula berkata, kementeriannya sedang
mengkaji semua fakta mengenai projek perumahan terbengkalai.
Saya merupakan mangsa kepada projek rumah terbengkalai dan selama ini
merasakan seperti tiada tempat untuk mengadu.
Selain projek taman perumahan terbengkalai, terdapat banyak kes pemaju yang
mengiklankan penjualan lot-lot banglo tanah rizab Melayu. Setelah mengambil
wang deposit dan menghadapi masalah untuk menjalankan projek, mereka
menyerahkan projek tersebut kepada pemaju lain.
Syarikat pemaju yang menghadapi masalah ini akan menutup syarikatnya dan
menubuhkan pula syarikat pemaju yang baru. Pemaju yang tidak
bertanggungjawab ini akan terus menjalankan perniagaannya dengan nama
syarikat yang baru.
Saya amat menyokong agar Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipinda segera
agar pemaju yang tidak bertanggungjawab ini boleh dihukum penjara.
Pengalaman saya sendiri membeli lot banglo di Lot 6400, Bukit Kapar, Klang
pada tahun 2000 amat memedihkan. Melalui ruangan ini saya menyeru kepada
semua yang terlibat dengan pembelian lot banglo ini agar dapat menghubungi
saya melalui e-mel: desameru@yahoo.com supaya dapat bertindak bersama.
- RABIATUL ADAWIYAH,
Shah Alam, Selangor.
SURAT KEDUA
SAYA tidak tertahan lagi menanggung beban kerana rumah yang dibeli sejak
2001 hingga kini masih belum siap.
Dengan pendapatan yang tidak seberapa, menanggung isteri, anak-anak dan adik,
saya terpaksa pula membayar hutang bank bagi rumah yang tidak siap.
Berurusan dengan pemaju ibarat main sorong papan, tarik papan. Mengikut
perjanjian projek siap pada Mei 2002.
Para pembeli telah menubuhkan jawatankuasa bertindak dan sudah beberapa kali
naik turun pejabat Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan di Selangor.
Tetapi sehingga sekarang langsung tiada keputusan.
Kami cuba lantik peguam, tetapi semua tidak sudi kerana mereka sudah tahu
kes akan gagal. Tiadakah undang-undang di Malaysia yang menyebelahi pihak
pembeli rumah?
Tolonglah, pada siapa lagi kami boleh mengadu?
- ADDYSURIONO,
Kulai, Johor. |