Pinda Akta Perumahan, Kerajaan
Tempatan - MB
Utusan Malaysia 13/2/2006
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr.Mohamad Khir
Toyo mencadangkan supaya Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipinda bagi
membolehkan hukuman penjara dikenakan ke atas pemaju yang gagal dikenakan ke
atas pemaju yang gagal memenuhi syarat-syarat ditetapkan dalam perjanjian
jual beli.
Katanya, dalam kebanyakan kes, kerajaan tidak dapat bertindak terhadap
pemaju kerana ketiadaan peruntukan undang-undang berkaitan.
Namun, katanya, orang ramai yang tidak arif mengenai perkara itu menyalahkan
dan menuduh kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai tidak
menjalankan tugas.
"Hari ini kerajaan tiada undangundang untuk bertindak tegas terhadap pemaju
tidak bertanggungjawab.
"Harap ada pindaan terhadap akta ini supaya pemaju dapat dipenjarakan
sekurang-kurangnya enam bulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
program Belia Prihatin, Belia Benci Dadah di Perumahan Awam Sri Perlis 2,
Keramat Jaya di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan pembelipembeli rumah di Kundang dan Rinching
baru-baru ini yang membuat laporan polis kerana teraniaya akibat perbuatan
tidak bertanggungjawab pemaju di kawasan berkenaan.
Dalam kes tersebut, pemaju tidak menyediakan kemudahan asas sepatutnya
seperti yang terkandung dalam perjanjian jual beli tetapi telah menyerahkan
kunci kepada pembeli.
Akibatnya, pembeli terpaksa mendiami rumah masing-masing tanpa sijil layak
menduduki (CF).
"PBT boleh luluskan CF dalam tempoh dua minggu asalkan semua keperluan asas
disiapkan," jelas Mohamad Khir.
Menurutnya, apa yang menjadi kelemahan dalam perjanjian jual beli kerana ia
melibatkan urusan telah dipersetujui antara pemaju dan pembeli sahaja.
Justeru tambah beliau, kerajaan sukar untuk campur tangan. |