Pinda akta lindungan hak
pembeli rumah
08/02/2006 Berita Harian-
Editorial
KEPUTUSAN kerajaan membenarkan mereka yang membuat pinjaman perumahan
daripada kerajaan, tetapi rumah yang dibeli terbengkalai, mendapatkan
pinjaman selanjutnya dan dianggap sebagai pinjaman harta pertama, tentunya
melegakan kakitangan awam yang terbabit. Ini sekali gus, memberi peluang
kepada mereka memiliki rumah baru selepas dianiaya pemaju yang tidak
bertanggungjawab. Walaupun, mereka masih perlu menyelesaikan baki hutang
yang dikira atas jumlah pinjaman dikeluarkan saja secara ansuran, ia
sekurang-kurangnya meringankan beban mereka yang selama ini terpaksa
membayar ansuran bulanan sedangkan rumah tidak dapat diduduki.
Ternyata, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap nasib kakitangannya
yang tidak kenal erti jemu berkhidmat untuk rakyat. Malah, seperti
dijelaskan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Izzuddin Dali, dalam
pekeliling terbaru dikeluarkan kelmarin, kakitangan awam terbabit juga akan
diberikan pengecualian faedah pinjaman sementara menunggu projek kediaman
yang terbengkalai dipulihkan atau sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan
kerajaan. Semua langkah ini antara usaha kerajaan untuk mengatasi masalah
pembelian rumah baru yang kemudian terbengkalai sehingga menimbulkan
kesulitan kepada peminjam.
Bagaimanapun, masalah pembelian rumah kediaman baru yang kemudian
terbengkalai bukan hanya dihadapi kakitangan kerajaan, tetapi juga orang
ramai termasuk pekerja swasta. Malah, beban ditanggung pembeli yang
mendapatkan kemudahan pinjaman perumahan institusi kewangan ternyata lebih
berat kerana mereka terpaksa membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi,
tidak termasuk denda jika lewat menjelaskannya. Kita berharap kerajaan juga
dapat melakukan sesuatu untuk membantu golongan ini walaupun mereka bukan
meminjam wang daripada kerajaan.
Apa pun, isu projek perumahan terbengkalai memang serius, malah di Selangor
sehingga akhir tahun lalu, ada lebih 21,300 pembeli rumah termasuk rumah kos
rendah menghadapi masalah berkenaan, membabitkan 56 projek perumahan yang
ada di antaranya gagal disiapkan antara lima hingga 10 tahun. Oleh itu,
selain berusaha membantu mangsa yang terjejas, kerajaan juga perlu bertindak
tegas terhadap pemaju. Malah, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan
cadangan sebelum ini supaya konsep pembelian rumah beli dan siap seperti
yang wujud sekarang dimansuhkan, sebaliknya diganti kepada konsep 10:90
iaitu pembeli membayar pendahuluan 10 peratus dan 90 peratus lagi hanya
perlu dibayar selepas rumah siap.
Untuk tujuan itu, kerajaan perlu meminda Akta Pemaju Perumahan 1972 yang
dikatakan lebih memihak kepada pemaju daripada pembeli. Kita percaya jika
akta berkenaan dipinda bagi membolehkan hanya konsep pembelian rumah bina
dulu dan jual kemudian saja dibenarkan berbanding jual dan bina yang
diamalkan ketika ini, isu projek rumah terbengkalai akan dapat diatasi dan
pembeli tidak lagi menanggung kerugian jika projek gagal disiapkan. Langkah
ini juga bukan saja dapat melindungi pembeli di kalangan kakitangan awam
yang meminjam daripada kerajaan, malah orang ramai yang mengambil pinjaman
daripada bank. |