Pembeli rumah tertipu tiada
pembelaan
13/02/2006 Berita Harian
SEBAGAI pembeli rumah, saya bersimpati dengan nasib pembeli rumah lain yang
menghadapi masalah rumah terbengkalai dan tidak mendapat sijil kelayakan
menduduki (CF) dan terpaksa pula menanggung beban hutang bank.
Sikap tidak bertanggungjawab pemaju membebankan golongan terbabit kerana
sesetengah daripada mereka masih menyewa.
Sering kali hanya pembeli yang menjadi mangsa keadaan apabila berhadapan isu
ini. Pihak bank terus membuat tuntutan bayaran ke atas pembeli, manakala
pemaju menghilangkan diri selepas mengaut keuntungan secara tidak bermoral.
Pihak berkuasa tempatan pula lebih suka memberikan alasan yang selamat iaitu
tiada kuasa mengambil tindakan terhadap pemaju, isu pemaju tidak memohon CF
bukan bidang kuasa mereka dan sebagainya.
Saya ingin meluahkan rasa kesal di atas ketidakcekapan Kementerian Perumahan
dan Kerajaan Tempatan dalam mengambil langkah memperkukuhkan undang-undang
bagi melindungi pembeli rumah daripada pemaju yang tidak bertanggungjawab.
Yang menyedihkan ialah apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
seolah-olah cuba mengelakkan diri daripada memberikan jawapan yang diajukan.
Saya menyokong usaha Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan
presidennya yang berulang kali bersemuka dengan pihak berwajib bagi
mendapatkan kaedah bagi melindungi pembeli rumah.
Sedihnya, usaha ini masih dipandang ringan pihak berwajib. Nampaknya, kerap
kita dipaparkan dengan kelembapan pihak berwajib dalam mengenakan
undang-undang lebih ketat ke atas pemaju yang tidak bertanggungjawab ini.
Sekiranya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bukan pihak berwajib
yang boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas kelalaian pemaju, siapa
lagi?
Persoalannya siapakah yang kena buat kerja untuk rakyat? Rakyat atau menteri
atau pihak yang dipertanggungjawabkan? Kalau beginilah sikap mereka yang
diberi kuasa untuk membantu orang ramai, tidak hairanlah isu yang sudah
lapuk ini masih belum selesai hingga ke hari ini.
TERANIAYA,
Pandan Indah, Selangor. |