Pembeli rumah mula gelisah
08/02/2006 Berita Harian
CYBERJAYA: Kelewatan pemaju
menyiapkan projek perumahan di Cyberjaya menyebabkan pembeli gelisah
terutama apabila projek yang dilancarkan dua tahun lalu hanya 10 peratus
siap.
Lebih mengecewakan, projek perumahan di kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC)
yang sepatutnya siap Oktober tahun lalu ditinggalkan tanpa kerja pembinaan
dijalankan.
Projek perumahan itu membabitkan pembinaan 404 unit rumah teres satu tingkat.
Pengerusi Jawatan kuasa bertindak, Syed Kamaruddin Syed Samsuddin, berkata
projek yang dilancarkan pada 11 Jun 2004 sepatutnya siap Oktober lalu,
tetapi sehingga kini hanya 10 peratus siap.
"Kami kecewa dengan pemaju yang membisu dan tidak memberi maklumat terkini
itu sedangkan semua pembeli sudah mula membuat bayaran penuh setiap bulan
kepada bank," katanya.
Syed Kamaruddin berkata, usaha menghubungi pemaju untuk mendapatkan maklumat
berhubung kedudukan projek tidak berhasil.
"Saya ada membuat aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
tetapi jawapan yang diperoleh ialah pemaju tidak memberi apa-apa respon
kepada kementerian berhubung isu itu,” katanya.
Beliau berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan masalah itu
memandangkan Cyberjaya adalah kawasan canggih yang tidak patut menghadapi
masalah seperti itu.
Projek membabitkan pembinaan 404 unit rumah teres satu tingkat yang dijual
pada harga RM124,000 setiap rumah.
Tinjauan Berita Harian mendapati, projek rumah teres hanya 10 peratus siap
dengan hanya kira-kira 40 rumah dibina sementara yang lainnya hanya
peringkat menanam cerucuk. |