Pembeli rumah Taman Kristal
lega
07/02/2006 Berita Harian
PORT DICKSON: Penantian 149 pembeli projek perumahan Taman Kristal, di sini
untuk mendiami rumah yang dibeli sejak sedekad lalu akan berakhir apabila
kerja memulihkan projek terbengkalai itu dijangka siap selewat-lewatnya
pertengahan tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Port Dickson, Datuk T Rajagopalu, berkata
kerja-kerja memulihkan projek itu sepatutnya siap Disember lalu, tetapi
beberapa masalah menyebabkan ia gagal disiapkan mengikut jadual.
Bagaimanapun, katanya, pemaju projek itu memberi jaminan akan menyiapkan
kerja sebelum pertengahan tahun ini.
“Daripada tinjauan ke tapak projek perumahan itu, 70 peratus kerja
memulihkan projek terbengkalai berkenaan sudah siap dan kini hanya beberapa
kerja kecil dilaksanakan.
“Justeru, saya berharap pembeli bersabar dan memberi peluang kepada pemaju
menyiapkan kerja terbabit sebelum mereka boleh menduduki rumah itu,” katanya.
Rajagopalu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna,
Perladangan dan Komoditi negeri, berkata projek itu yang dilancarkan pada
1997 mengandungi 48 unit rumah teres dua tingkat dan 101 unit rumah teres
setingkat, dijadualkan siap pada 1999.
Bagaimanapun, katanya, rumah berharga dari RM68,888 hingga RM144,000 itu
gagal disiapkan oleh pemaju asal kerana beberapa masalah sebelum beberapa
kali bertukar pemaju. |