Masalah geran berlarutan 40
tahun
28/02/2006
Harian Metro Oleh Kalam Hadi
JOHOR BAHRU: Lebih 800 pembeli tanah Taman Saujana berhampiran Taman Desa
Harmoni, di sini merayu kerajaan negeri campur tangan membantu menyelesaikan
masalah geran hak milik tanah yang berlarutan sejak hampir 40 tahun lalu.
Sehingga kini pembeli terbabit buntu untuk mendapatkan saluran terbaik bagi
menyelesaikan masalah mereka walaupun pelbagai usaha dibuat termasuk
menggunakan khidmat peguam.
Mereka yang membeli lot tanah kediaman terbabit daripada sebuah syarikat
milik seorang usahawan terkenal di negeri ini, kecewa dan berharap kerajaan
negeri segera membantu menyeleasikan masalah itu.
Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Taman Saujana (PPRTS), Badri Mukibat, 63,
kecewa dan kesal kerana masalah berlarutan sejak 39 tahun lalu belum
berakhir menyebabkan pembeli hilang sabar.
Menurutnya, sebagai langkah awal, pihaknya terpaksa mendapatkan khidmat
peguam bagi membela mereka mendapatkan geran hak milik tanah yang dibeli
sejak 1967.
“Ketika itu kebanyakan kami masih berusia bawah 40 tahun. Ada yang membeli
lebih dua lot tanah untuk kediaman dari pemilik tanah yang juga tokoh
usawahan terkenal di negeri ini.
“Tapi daripada 890 pembeli yang membeli tanah sejak awal, hanya 50 sudah
mendapat geran hak milik manakala 800 pembeli masih lagi menunggu.
“Malah, ada rakan kami sudah meninggal dunia tetapi geran hak yang ditunggu
masih tidak diketahui bila akan diperolehi,” katanya.
Badri yang juga Pegawai Pengembang Masjid dan Surau Dun Johor Jaya berkata,
beliau bersama tujuh Ahli Jawatankuasanya terpaksa menemui Menteri Besar,
Datuk Abdul Ghani Othman, 12 Januari lalu.
Menurutnya, Menteri Besar sendiri memberi pengakuan membantu menyeleaikan
masalah berkenaan dan merujuk masalah itu kepada kepemimpinan Umno bahagian
Pasir Gudang dan ketuanya, Datuk Mohamed Khaled Nordin.
Ahli Jawatankuasa Penduduk, Mohd Top Jaafar, berharap masalah yang
membelenggu pembeli tanah di situ akan selesai dalam tempoh terdekat kerana
pembeli tidak tahan lagi dipermainkan pemilik tanah berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan pembeli rumah di situ berharap
pemilik tanah terbabit memyerahkan segera geran hak milik kepada pembeli
yang sudah melunaskan segala bayaran seperti perjanjian asal.
“Kami bimbang ada pembeli yang kurang sabar dan menggunakan cara sendiri
untuk menuntut hak mereka.
“Sekiranya hal ini berlaku pasti keadaan lebih buruk tambahan pula pemilik
asal tanah berkenaan adalah tokoh perniagaan terkenal yang turut menjadi
pengerusi sebuah badan perniagaan Melayu negeri ini,” katanya.
Mohd Top bagaimanapun berterima kasih kepada ke pemimpinan Umno bahagian
Pasir Gudang yang perihatin terhadap masalah yang dihadapi pembeli tanah
terbabit dan sudi menerima undangan untuk berdialog dengan pembeli semalam |